
Oleh: Noraini Nordin
Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar menitipkan tiga pesanan buat calon-calon parti itu yang telah dinamakan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos depan.
Beliau menegaskan, pesanan pertamanya mengenai pengorbanan.
Katanya, kadang-kadang anggota parti lupa kepada asas perjuangan penting iaitu pengorbanan yang membawa mereka kekal bersama dalam wadah KEADILAN bagi membina masa depan negara
"Setiap perjuangan dan setiap kemenangan tidak dapat tidak memerlukan pengorbanan
"Memang hebat dan indahnya dapat menjadi wakil rakyat, tetapi harus ingat bahawa memegang jawatan dan memikul tanggungjawab yang diamanahkan itu memerlukan pengorbanan yang besar.
"Semuanya tidak datang di atas permaidani merah sebagaimana yang kita impikan, ia memerlukan pengorbanan masa, tenaga dan memahami intipati kenapa kita dipilih sebagai wakil rakyat," katanya ketika berucap di Majlis Pengumuman Calon KEADILAN di Shah Alam malam tadi.
Nurul Izzah yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Pulau Pinang, Kedah dan Perlis juga mengingatkan tentang keperluan bersabar serta berkorban dalam berkongsi kerusi dengan lain-lain parti demi memastikan Kerajaan Perpaduan yang ada kekal stabil serta makmur.
Berkenaan pesanan kedua, beliau mengimbas bagaimana ketika KEADILAN diberi amanah memerintah Selangor pada 2008.
Menurutnya, pada tahun 2008 KEADILAN diberi kepercayaan oleh rakyat mentadbir Selangor perkara utama yang perlu difahami adalah tentang kontrak sosial dalam tanggungjawab yang dijalankan oleh setiap wakil rakyat.
"Jagalah kontrak sosial dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat yang diamanahkan itu dengan sebaik mungkin," ujarnya.
Mereka yang terpilih sebagai calon, katanya, hendaklah mempunyai rasa empati dan perasaan belas kasihan kepada mereka yang tidak terpilih
Ketiga, Nurul Izzah mengingatkan tentang disiplin dan organiasi parti.
Katanya, selain disiplin, kepatuhan kepada organisasi parti, kerja keras dan cabaran menggunung adalah perkara yang menanti di hadapan setiap wakil rakyat yang diberikan amanah.
"Lebih-lebih lagi dengan politik kebencian dan perkauman yang menggunakan sentimen ekstrisme agama sebagaimana mirip era Donald Trump di Amerika Syarikat sebelum ini, cabaran itu tentu lebih mencabar lagi.
"Sebab itu ia memerlukan maklumat sahih dan jentera mesti sentiasa turun padang untuk menangkisnya," tegas beliau.
Comments