top of page

Isu rumah ibadat: 'Waktu pembangkang jadi kerajaan mereka tidak selesaikan'

  • Writer: Hasbul Ahmad
    Hasbul Ahmad
  • 11 minutes ago
  • 2 min read

Isu kewujudan kuil yang dibina secara tidak sah sejak lebih 30 tahun lalu tidak seharusnya dijadikan bahan provokasi politik, sebaliknya perlu diselesaikan secara matang demi menjaga keharmonian masyarakat.


Ketua KEADILAN Pengerang, Faizul Abdul Ghani mengulas pandangan dan kenyataan beberapa pimpinan pembangkang Perikatan Nasional (PN) termasuk Pas yang lantang membangkitkan isu berkenaan, namun tidak menyelesaikannya ketika mereka berada dalam Kerajaan Persekutuan.


"Isu ini bukan perkara baharu kerana sudah berlarutan lebih tiga dekad. Sepatutnya ketika mereka berada dalam Kerajaan Persekutuan dahulu, perkara ini boleh diselesaikan secara tuntas.


"Persoalannya, mengapa ketika itu senyap dan tidak ada tindakan yang tegas? Mengapa sekarang mahu jadi hero?" tanya Faizul.


Justeru katanya, kenyataan pihak tertentu yang dilihat cuba membangkitkan isu tersebut secara berlebihan sehingga berpotensi menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat perlu dihentikan.

Faizul Abdul Ghani
Faizul Abdul Ghani

"Dalam keadaan sekarang, mana-mana pihak tidak sepatutnya melakukan provokasi atau menyemarakkan isu ini hanya kerana mahu menang politik.


"Apa yang lebih penting ialah membantu mempermudahkan proses penyelesaian," ujar Faizul yang juga Penyelaras Pertubuhan Media Komunikasi Johor (MyKOM).


Mengakui wujud cabaran bagi menyelesaikan isu berkenaan, namun pentadbiran kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui gagasan Kerajaan MADANI sedang berusaha sebaik mungkin untuk mencari penyelesaian yang adil dengan memberikan ruang dan pertimbangan kepada semua pihak yang terlibat.


"Kerajaan MADANI hari ini berusaha mencari jalan penyelesaian yang seimbang dan adil supaya isu ini dapat diselesaikan secara harmoni tanpa menjejaskan perpaduan rakyat," katanya lagi.


Beliau menegaskan bahawa isu berkaitan rumah ibadat dan tanah perlu ditangani secara berhati-hati serta berpandukan undang-undang supaya keputusan yang dibuat dapat diterima semua pihak.


Sehubungan itu, Faizul menyeru orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan sentimen yang dimainkan oleh mana-mana pihak yang boleh menggugat kestabilan negara.


"Kita tidak perlu menyemarakkan sentimen yang boleh mengganggu kestabilan dan perpaduan masyarakat. Kita perlu memberi ruang kepada kerajaan dan pihak berkuasa untuk menyelesaikan perkara ini secara baik.


"Jangan sebarkan info yang tidak sahih, berkongsi ataupun membuat komen yang boleh menggugat kestabilan dan perpaduan masyarakat," katanya.


Tambah beliau, pendekatan matang dan bertanggungjawab amat penting dalam memastikan keharmonian antara kaum dan agama terus terpelihara di negara ini.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page