Tiga Kesatuan Sekerja Sabah sokong reformasi perburuhan Kerajaan MADANI
- Suara Keadilan

- 11 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Agenda reformasi perburuhan yang dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerima sokongan padu tiga gabungan kesatuan sekerja utama di Sabah.
MTUC Bahagian Sabah, CUEPACS Sabah dan UNI-MLC Sabah dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menyambut baik beberapa usaha yang dilaksana kerajaan termasuk pindaan Ordinan Buruh Sabah (OBS) 2024 yang diluluskan di Dewan Rakyat pada Oktober lalu.
"Pindaan Ordinan Buruh Sabah 2024 yang ditunggu selama 20 tahun menjadi pencapaian penting kerana ia memastikan pekerja di Sabah menerima perlindungan selari dengan standard buruh semasa seperti di Semenanjung," kata mereka.
Kenyataan ditandatangani Pengerusi MTUC Sabah, Mohd Airy Arin; Pengerusi CUEPACS Sabah, Ajulahin Japin; dan wakil UNI-MLC Sabah, Jackelina Lajium.
Gabungan itu turut melihat reformasi perburuhan yang dibawa kerajaan MADANI sebagai pemangkin kepada perlindungan lebih menyeluruh, termasuk melalui penggubalan Akta Pekerja Gig yang buat pertama kali mengiktiraf peranan pekerja platform dalam ekonomi digital.
Menurut mereka, langkah KESUMA meluaskan liputan perlindungan PERKESO kepada 24 jam tanpa terhad waktu bekerja juga menjadi perubahan besar yang memberi jaminan keselamatan sosial kepada pekerja.
"Hubungan erat Kerajaan Negeri dan Persekutuan perlu diperkukuh supaya pelaksanaan semua agenda ini memberi kesan terus kepada rakyat," tambah kenyataan itu.
Dalam pada itu, tiga gabungan berkenaan memuji komitmen Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, yang hadir ke sesi temu mesra bersama lebih 100 pemimpin kesatuan sekerja di Sabah baru-baru ini, sekaligus mencerminkan kesungguhan Kerajaan MADANI mendengar suara pekerja negeri itu.









Comments