Tiga kali undian PM Muhyiddin tidak lepas 111 majoriti mudah

Updated: Dec 2, 2020



Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah melalui 3 kali undian Belanjawan 2021 secara Belah Bagi sejak 30 November lalu namun tidak ada satu kiraan pun yang menunjukkan Perdana Menteri (PM) Muhyiddin Yassin mendapat 111 undi dan menjelaskan status keabsahan kerajaan beliau.


Bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, kegagalan Muhyiddin mendapat undi yang melepasi majoriti mudah dalam perbahasan peringkat jawatankuasa itu membuktikan perlunya Undi Tidak Percaya atau Undi Percaya dibuat terhadap beliau bagi menjamin PM mempunyai majoriti sebagaimana diwar-warkan sejak mengangkat sumpah jawatan pada 1 Mac lalu.


"Setakat hari Selasa 1 Disember 2020 Kerajaan PN pimpinan PM Tan Sri Muhyiddin telah memenangi tiga kali undian peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Belanjawan tahun 2021


"Pada hari Isnin 30 November 2020 Kerajaan PN menang bagi Anggaran Belanjawan Jabatan Perdana Menteri dengan menyokong 105 undi; menolak 95 undi.


"Pada hari yang sama kerajaan menang sekali lagi bagi meluluskan Anggaran Belanjawan Kementerian Kewangan dengan belahan undi: Menyokong 106; menolak 95.


"1 Disember 2020, di sebelah petang, Anggaran Belanjawan Kementerian Perladangan dan Komoditi diluluskan hanya setelah dilakukan undi belah bagi dengan keputusan: Menyokong 108 undi; Menolak 95," kata Hassan dalam satu kenyataan.


Menurut Hassan, setakat hari Selasa pentadbiran Muhyiddin hanya mampu membuktikan terdapat 108 Ahli Parlimen yang menyokong belanjawan iaitu kurang 3 undi daripada sepatutnya.


Malah secara konsisten beberapa orang Ahli Parlimen Umno tidak hadir ketika sesi pengundian membuktikan terdapat pemimpin dari parti itu yang mungkin hilang kepercayaan kepada kepimpinan beliau.


Bagaimanapun, kata Hassan, undian belanjawan bukanlah penentu kepada majoriti mutlak Kerajaan PN kerana menurut Perlembagaan Persekutuan sekiranya Undi Percaya atau Tidak Percaya dibuat, PM hendaklah disokong oleh lebih daripada separuh anggota dewan. Jumlah yang kurang daripada itu akan menyebabkan pentadbirannya terbubar.


"Belanjawan tidak meletakkan syarat majoriti mutlak. Menang undi majoriti mudah dari jumlah ahli Dewan Rakyat yang hadir pada ketika pengundian belah bagi itu dijalankan sudah mencukupi untuk dikatakan menang dengan majoriti dan belanjawan diluluskan.


"Tetapi ia berbeza dengan jawatan PM. Keabsahan jawatan PM memerlukan undi majoriti mutlak, bukan setakat dari jumlah Ahli Dewan Rakyat yang hadir di dewan ketika pengundian tetapi dari keseluruhan jumlah Ahli Dewan Rakyat yang dipilih oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum.


"Dalam PRU-14, seramai 222 Ahli Parlimen telah dipilih iaitu bilangan yang mandatori di dalam Perlembagaan Persekutuan. Setakat ini seorang Ahli Parlimen Blok Pembangkang telah meninggal dunia iaitu Ahli Parlimen Batu Sapi di Sabah. Manakala Blok Kerajaan seorang Ahli Parlimennya juga meninggal dunia iaitu Ahli Parlimen Gerik di Perak. Ini menjadikan jumlah ahli Dewan Rakyat di Parlimen Malaysia sekarang ada seramai 220.


"Jumlah treshold atau jumlah ambang yang dikatakan syarat majoriti yang diperlukan oleh PM Muhyiddin untuk mengesahkan jawatannya ialah sebanyak 111. Setakat tiga undian belah bagi, undian paling tinggi yang Kerajaan PN dapat hanyalah sebanyak 108 undi. Kerajaan PN belum lagi mencapai jumlah ambang atau treshold sebanyak 111 undi


"Setakat hari ini sejak Tan Sri Muhyiddin Yassin dipilih menjadi PM bermula 1 Mac 2020, beliau dan kerajaannya masih belum membuktikan majoriti yang dituntut oleh Undang-Undang Perlembagaan. Oleh itu keabsahan Muhyiddin dan Kerajaan PN masih lagi dipersoalkan," katanya lagi.


Oleh itu, Hassan menyeru agar Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Harun segera membenarkan usul Undi Tidak Percaya dibahas dan dimuktamatkan.


Keabsahan kerajaan Muhyiddin perlu ditentukan pada sesi Parlimen Disember dan tidak boleh dibiarkan berlarutan yang akan memberi impak negatif kepada politik dan ekonomi negara.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio