Dasar pemerkasaan ekonomi Bumiputera alaf baharu akan dilaksanakan melalui 3 isbat atau ketetapan penting.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan penutup Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 petang tadi berkata, isbat tersebut penting ditekankan dalam meneruskan perjuangan ekonomi Bumiputera seterusnya.
"Isbat pertama memperkukuh pasak ekonomi negara sama ada daya saing, perskalaan, pemilikan ekuiti, bakat dan meningkat pendapatan. Dengan cara sedemikian kita tingkatkan taraf sosio-ekonomi ke landasan yang lebih baik.
Isbat kedua memperkukuh kerukunan tatakelola dan institusi. Ini selari dengan falsafah Bumiputera, mengukuh penyampaian perkhidmatan dan peningkatan penyertaan syarikat swasta, GLC, GLIC perlu diberi tumpuan khusus. Kita tidak boleh bicara integriti, ketelusan dan pertanggungjawaban kepada kalangan lain jika kita lihat agensi kita berkecamuk sehingga ditampung Kementerian Kewangan kerana kerugian.
"Berapa puluh bilion saham diagihkan, berapa bilion dibelanjakan menampung keperluan bumiputera, sebahagiannya sampai, sebahagiannya lesap entah ke mana. Kita tidak boleh lagi tolak ansur dengan khianat sedemikian. Ia memerlukan ketangkasan kepimpinan semua GLC dan GLIC," katanya.
Manakala isbat ketiga, tegas Anwar, adalah menegakkan keadilan sosial.
"Ia menyokong anjakan mobiliti sosial, meningkatkan kesaksamaan peluang dan memperluas jaringan perlindungan sosial.
"Antara yang perlu penelitian khusus adalah merangkumi ekosistem pendidikan, perkhidmatan kesihatan, perumahan, akses kepada insfrastruktur asas yang berkualiti, termasuk kepada Orang Asli dan pembangunan di Sabah dan Sarawak," katanya.
Untuk rekod, kongres kali ini adalah yang pertama menjemput wakil pentadbir Sabah dan Sarawak kerana definisi Bumiputera bukan semestinya Melayu-Islam sebagaimana difahami sebelum ini. Sebaliknya juga diiktiraf suku kaum pribumi di Sabah dan Sarawak yang bukan beragama Islam.
Comentarios