Tiga DUN majoriti Melayu catat kadar keluar mengundi tertinggi
- Suara Keadilan
- 6 hours ago
- 1 min read

Tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti Melayu mencatat kadar keluar mengundi tertinggi setakat jam 4 petang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, manakala tiga kerusi bandar yang disandang Pakatan Harapan (PH) merekodkan kadar paling rendah.
DUN Semarang mendahului senarai dengan kadar keluar mengundi sebanyak 72.6 peratus. Kerusi yang mempunyai 27,734 pengundi berdaftar itu kini disandang Samsol Bari Jamali (BN-UMNO) yang mempertahankan kerusinya dalam saingan tiga penjuru menentang Abdul Rahim Abdul Rahman (PH-PKR) dan Mohd Fazli Mohd Salleh (PN-PAS).
Di tempat kedua ialah DUN Sri Medan yang merekodkan 71.6 peratus kadar keluar mengundi daripada 32,696 pengundi berdaftar. Penyandangnya, Zulkurnain Kamisan (BN-UMNO), dicabar Cikgu Hishamuddin Abdul Razak (PH-PKR) dan Mohd Hadi Mahadi (PN-PAS).
DUN Sedili pula mencatat kadar keluar mengundi 70.5 peratus melibatkan 31,831 pengundi berdaftar. Penyandang BN-UMNO, Muszaidi Makmor, berdepan pertandingan tiga penjuru menentang Dr. Mohd Fared Khamis (PH-PKR) dan Mohd Ridzwan Bujang (PN-BERSATU).
Sementara itu, DUN Penggaram merekodkan kadar keluar mengundi paling rendah iaitu 56.5 peratus daripada 69,092 pengundi berdaftar. Penyandang PH-DAP, Gan Peck Cheng, mempertahankan kerusi itu dalam saingan tiga penjuru menentang Chong Seng Foo (BN-MCA) dan Mohd Solihan Badri (PN-GERAKAN).
DUN Bentayan turut mencatat kadar keluar mengundi rendah sebanyak 56.1 peratus melibatkan 34,728 pengundi berdaftar. Kerusi itu menyaksikan pertandingan dua penjuru antara penyandang PH-DAP, Ng Yak Howe dan Chua Lee Huat (BN-MCA).
Turut merekodkan kadar keluar mengundi 56.1 peratus ialah DUN Perling, yang mempunyai 101,263 pengundi berdaftar, sekali gus menjadi kerusi terbesar dalam senarai tersebut. Penyandang PH-DAP, Liew Chin Tong, mempertahankan kerusi berkenaan menentang Lim Sying Yih (BN-MCA) dan Mohd Azlan Bujang (PN-GERAKAN).
Perkembangan kadar keluar mengundi pada saat-saat akhir dijangka menjadi antara faktor penting yang boleh mempengaruhi keputusan PRN Johor.
