top of page

PH Pahang gerakkan jentera, pastikan manfaat Belanjawan 2027 sampai kepada rakyat

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
1 day ago
2 min read

Pakatan Harapan (PH) Pahang akan menggerakkan jentera di semua peringkat bagi memastikan manfaat Belanjawan 2027 sampai kepada golongan sasar, termasuk keluarga berpendapatan rendah, peniaga kecil, petani, nelayan dan masyarakat luar bandar.


Pengerusinya, Datuk Ahmad Farhan Fauzi (gambar) berkata kejayaan belanjawan bukan sekadar diukur berdasarkan jumlah peruntukan diumumkan, sebaliknya sejauh mana manfaatnya benar-benar dinikmati rakyat.


Beliau berkata, PH Pahang akan memainkan peranan sebagai penghubung antara dasar kerajaan dengan keperluan masyarakat, termasuk membantu rakyat memahami syarat kelayakan dan saluran permohonan bantuan.


"Namun, sebesar mana sekalipun peruntukan yang diumumkan, kejayaan sesebuah belanjawan akhirnya diukur melalui sejauh mana manfaatnya benar-benar sampai kepada rakyat," katanya dalam kenyataan media.


Ahmad Farhan berkata, PH Pahang merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pembentangan Belanjawan 2027 yang bertemakan "Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi".


Menurutnya, belanjawan itu mencerminkan pendekatan pembangunan menyeluruh dengan mengimbangi aspirasi kemajuan negara dan keutamaan terhadap kebajikan serta kesejahteraan rakyat.


Antara langkah yang disambut baik ialah kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 mulai Jun 2027, peruntukan RM16 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), peningkatan pelepasan cukai asas individu kepada RM12,000 serta Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM200.


Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri berkata, inisiatif berkenaan berpotensi memberikan kelegaan kepada golongan pekerja, keluarga berpendapatan rendah dan sederhana, peniaga kecil serta anak muda yang sedang membina masa depan.


Bagi memastikan pelaksanaan inisiatif itu berkesan, jentera PH Pahang akan memperluas penyampaian maklumat mengenai bantuan kerajaan, selain mengenal pasti golongan yang memerlukan tetapi masih belum mendapat akses kepada kemudahan disediakan.


Perhatian turut diberikan kepada peniaga kecil dan usahawan mikro supaya mereka memperoleh maklumat mengenai peluang pembiayaan, latihan serta sokongan perniagaan yang bersesuaian.


Golongan belia, pekerja dan keluarga yang memerlukan panduan untuk memanfaatkan inisiatif berkaitan pekerjaan, pendidikan serta peningkatan pendapatan juga akan diberikan perhatian.


Pada masa sama, Ahmad Farhan berkata, maklum balas, kesulitan dan kekangan yang dikenal pasti menerusi program turun padang akan dikumpulkan sebelum disalurkan kepada kementerian serta agensi berkaitan bagi menambah baik pelaksanaan dasar.


Katanya, pendekatan itu penting kerana keperluan masyarakat di bandar seperti Kuantan tidak semestinya sama dengan cabaran penduduk luar bandar di Jerantut, Lipis, Bera, Rompin dan Cameron Highlands.


"PH Pahang mahu memastikan rakyat bukan sahaja mengetahui apa yang diumumkan dalam Belanjawan 2027, tetapi turut memahami bagaimana mereka boleh menikmati manfaatnya," katanya.


Beliau menegaskan, tanggungjawab kepimpinan politik tidak seharusnya terhenti pada menyambut baik pengumuman kerajaan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan yang memudahkan urusan rakyat.


"Belanjawan yang baik memerlukan pelaksanaan yang berkesan. Justeru, tanggungjawab kepimpinan politik tidak seharusnya terhenti pada menyambut baik pengumuman Kerajaan, sebaliknya mesti diterjemahkan melalui tindakan yang memudahkan urusan rakyat," katanya lagi.


Ahmad Farhan berkata, kemajuan negara perlu dapat dirasai hingga ke kampung, bantuan disalurkan kepada mereka yang layak dan peluang yang diwujudkan dapat dimanfaatkan seluruh lapisan masyarakat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page