Pastikan manfaat Belanjawan 2027 sampai kepada rakyat - ABIM


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa kerajaan memastikan setiap inisiatif dalam Belanjawan 2027 dilaksanakan secara berkesan supaya manfaatnya benar-benar dirasai rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, belia dan kelompok rentan.
Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin (gambar) berkata tumpuan belanjawan terhadap peningkatan pendapatan, akses pendidikan dan perlindungan sosial perlu diterjemahkan kepada kesejahteraan sebenar ketika negara berdepan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik dunia.
Menurutnya, pertumbuhan ekonomi perlu berjalan seiring dengan usaha meningkatkan taraf hidup rakyat serta memastikan tiada golongan tercicir daripada arus pembangunan.
"Bagi ABIM, ekonomi mesti memanusiakan manusia. Pertumbuhan perlu membawa kesejahteraan, kemakmuran perlu dikongsi dan pembangunan mesti mengangkat martabat setiap insan," katanya dalam kenyataan.
ABIM turut menyambut baik kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 mulai Jun 2027 serta pengenalan kadar RM2,500 sebulan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan.
Bagaimanapun, Ahmad Fahmi berkata kategori pekerjaan yang layak menerima kadar RM2,500, liputan majikan, tarikh kuat kuasa dan mekanisme pelaksanaan perlu diperjelas bagi mengelakkan kekeliruan.
Beliau berkata, penguatkuasaan juga perlu memastikan kenaikan gaji tidak dihakis melalui pengurangan elaun atau perubahan syarat pekerjaan yang merugikan pekerja.
Pada masa sama, kemampuan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menanggung peningkatan kos upah serta caruman perlu diambil kira, dengan kerajaan menyediakan pelan peralihan dan sokongan bersasar bagi meningkatkan produktiviti.
"Kelangsungan perniagaan dan hak pekerja menikmati upah bermaruah perlu dipelihara bersama," katanya.
Dalam aspek kebajikan pekerja ekonomi gig, ABIM menyifatkan pakej bantuan penyelenggaraan, insurans dan caruman yang dibiayai bersama kerajaan serta Grab sebagai langkah positif.
Namun, liputan bantuan itu perlu diperjelas dan perlindungan diperluas kepada pekerja merentas platform, selain penetapan pendapatan minimum mengambil kira pendapatan bersih selepas ditolak kos bekerja.
ABIM turut berpandangan pendaftaran automatik warganegara sebagai ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada usia 18 tahun perlu disertai sokongan mencarum kepada belia berpendapatan rendah dan tidak tetap.
Menurutnya, pembukaan akaun simpanan sahaja tidak mencukupi tanpa usaha membantu golongan muda membina simpanan secara berterusan.
Menyentuh pendidikan, ABIM menyambut baik pengumuman elaun sara hidup RM2,500 yang dijangka memanfaatkan 90,000 pelajar Tingkatan Enam, kelonggaran bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta bantuan makanan dan perjalanan pelajar.
Bagaimanapun, penyaluran bantuan perlu dibuat tepat pada masanya, dengan syarat kelayakan dan tempoh pembayaran yang jelas serta urusan permohonan dan rayuan yang mudah.
"Kesempitan kewangan tidak sepatutnya memutuskan peluang seseorang untuk belajar," katanya.
ABIM turut menggesa peruntukan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebanyak RM8 bilion merentas kementerian dinilai berdasarkan keberkesanannya dalam membantu peserta memperoleh pekerjaan, meningkatkan kemahiran dan menambah pendapatan.
Golongan belia luar bandar, pelajar tahfiz dan pondok serta kelompok NEET, iaitu anak muda yang tidak bekerja atau mengikuti pendidikan dan latihan, perlu diberikan perhatian melalui pendekatan lebih aktif.
Dalam isu kebebasan mahasiswa, ABIM menyambut baik pengumuman penghentian serta-merta prosiding tatatertib di universiti awam berkaitan kebebasan bersuara, penyataan pandangan, kritikan awam dan perhimpunan aman.
Hapus AUKU
Pertubuhan itu turut menggesa jadual penggubalan serta pelaksanaan kerangka perundangan bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) diperjelas, dengan penglibatan mahasiswa secara bermakna.
"Autonomi universiti, kebebasan akademik dan hak mahasiswa hendaklah dijamin dalam undang-undang serta amalan pentadbiran," katanya.
ABIM juga mahu peningkatan peruntukan hal ehwal Islam kepada RM3.1 bilion diterjemahkan kepada penambahbaikan mutu pendidikan, keselamatan pelajar serta kebajikan pendidik dan petugas agama.
Bagi sekolah agama, tahfiz dan pondok, keutamaan perlu diberikan kepada keselamatan kebakaran, penyelenggaraan asrama dan perlindungan pelajar, termasuk penyediaan saluran aduan yang melindungi pengadu daripada tindakan balas.
Selain itu, perhatian terhadap penyelenggaraan rumah ibadat bukan Islam berdaftar disifatkan wajar diteruskan melalui pengagihan berasaskan keperluan dan tatacara yang telus.
Bagi memastikan pelaksanaan belanjawan lebih berkesan, ABIM menggesa kerajaan menerbitkan jadual pelaksanaan dan laporan kemajuan yang menjelaskan penerima manfaat, golongan yang masih tercicir serta tindakan pembetulan yang diambil.
Ahmad Fahmi berkata, komitmen mendedahkan maklumat projek, kontraktor dan nilai kontrak juga perlu dilaksanakan secara konsisten, selain pemantauan projek serta tindakan susulan terhadap penemuan audit.
"Kriteria kelayakan bantuan hendaklah telus, diterapkan secara konsisten dan tidak dipengaruhi pertimbangan kepartian. Saluran aduan dan rayuan perlu memberikan jawapan dalam tempoh yang jelas," katanya.
Beliau berkata, ABIM akan terus memainkan peranan melalui penerangan belanjawan, dialog dan pendampingan komuniti bagi memastikan maklumat sampai ke akar umbi, manakala suara masyarakat pula disampaikan kepada pembuat dasar.
"Semangat ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’ menuntut pembaharuan yang memahami kesempitan hidup rakyat serta membina kemampuan mereka untuk maju," katanya lagi.




Comments