Belanjawan 2027: Reformasi mesti dirasai rakyat, bukan sekadar angka – AMK


Belanjawan MADANI 2027 perlu dinilai berdasarkan sejauh mana pelaksanaannya mampu memperbaiki kehidupan rakyat dan menjamin masa depan generasi muda, bukan sekadar melihat jumlah peruntukan yang diumumkan.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata Belanjawan 2027 berjumlah RM510 bilion memperlihatkan iltizam Kerajaan MADANI meneruskan agenda reformasi ekonomi dan institusi bagi memastikan kemakmuran negara diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, belanjawan itu turut memberi perhatian kepada isu kos sara hidup, kebajikan pekerja, akses pendidikan serta usaha merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.
"Belanjawan ini bukan semata-mata himpunan angka dan peruntukan. Ini suatu pernyataan tanggungjawab untuk menangani permasalahan kos sara hidup, mengangkat martabat kaum pekerja, memperluas akses dan peluang pendidikan serta merapatkan jurang pembangunan antara wilayah," katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, peningkatan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM16 bilion, kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 serta peningkatan Bantuan Awal Persekolahan kepada RM200 bagi setiap murid antara langkah yang membantu meringankan beban keluarga.
Beliau turut menyambut baik pemberian elaun kepada pelajar Tingkatan Enam serta peningkatan pelepasan cukai individu bagi golongan pertengahan (M40) daripada RM9,000 kepada RM12,000.
Katanya, langkah berkenaan, bersama pengurangan kadar cukai pendapatan tertentu, berpotensi memberi ruang pendapatan boleh guna yang lebih besar kepada pembayar cukai.
Dalam aspek pendidikan tinggi, Muhammad Kamil berkata ketetapan pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hanya bermula apabila pendapatan peminjam mencapai RM2,500 sebulan merupakan langkah ke arah sistem pembiayaan pendidikan yang lebih adil.
Beliau berkata, bayaran minimum RM50 bagi peminjam berpendapatan di bawah RM3,000 turut mengambil kira kekangan kewangan yang dihadapi graduan baharu ketika membina kerjaya.
"Saya turut menyambut baik pengenalan Program Budi Belia yang menawarkan insentif e-dompet RM100 kepada anak muda yang melengkapkan jumlah jam kesukarelawanan bersama NGO terpilih.
"Inisiatif ini menghargai sumbangan belia, menggalakkan penglibatan dalam khidmat masyarakat serta menyemai nilai ihsan dan semangat membantu tanpa mengira kaum dan agama," katanya.
Menurutnya, pembangunan belia tidak seharusnya terhad kepada peluang pekerjaan dan pendidikan semata-mata, malah perlu membentuk generasi yang prihatin serta bertanggungjawab terhadap masyarakat.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyambut baik usaha kerajaan menangani persaingan tidak adil daripada platform e-dagang asing yang boleh menjejaskan kelangsungan peniaga tempatan.
Katanya, pengukuhan penguatkuasaan dan cadangan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) E-Dagang menunjukkan kepentingan melindungi perusahaan kecil dan sederhana tempatan dalam persekitaran ekonomi yang semakin terbuka.
Muhammad Kamil berkata, Malaysia perlu terus mengejar kemajuan teknologi, pelaburan dan industri masa hadapan tanpa mengabaikan keperluan rakyat.
"Malaysia mesti berani mengejar kemajuan teknologi, pelaburan dan industri masa hadapan, tanpa sesekali mengabaikan denyut kehidupan rakyat terbanyak.
"Justeru, reformasi fiskal dan pembaharuan tatakelola mesti terus diperkukuh agar setiap hasil pertumbuhan dapat diagihkan secara lebih adil dan saksama," katanya.
Beliau menegaskan kejayaan Belanjawan MADANI 2027 tidak seharusnya diukur berdasarkan besarnya peruntukan semata-mata, sebaliknya melalui kesan sebenar terhadap kehidupan rakyat dan masa depan generasi akan datang.
"Reformasi bukan sekadar keberanian mengubah dasar, tetapi kesungguhan memastikan perubahan itu benar-benar dinikmati rakyat," katanya.




Comments