Belanjawan 2027 lindungi B40, pastikan M40 tidak lagi terpinggir - Altimet


Pelaksanaan Belanjawan 2027 perlu memastikan golongan berpendapatan sederhana (M40) tidak terpinggir daripada manfaat pembangunan negara, selain terus melindungi golongan berpendapatan rendah (B40) yang berdepan tekanan kos sara hidup.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Al-Hadad atau Altimet, berkata keseimbangan antara kebajikan rakyat dan pertumbuhan ekonomi perlu menjadi keutamaan dalam pelaksanaan dasar kerajaan.
Beliau berkata, pembangunan negara tidak seharusnya diukur berdasarkan angka pertumbuhan ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan berkualiti dan kesejahteraan hidup rakyat.
"Saya menyambut baik pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memperlihatkan komitmen Kerajaan MADANI untuk mengimbangi keperluan meringankan beban rakyat dengan usaha membina ekonomi negara yang lebih mampan, berdaya saing dan inklusif," katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, pendekatan belanjawan yang memberi perhatian kepada bantuan bersasar, pendidikan, kesihatan, perumahan dan peluang pekerjaan penting bagi memastikan B40 terus mendapat perlindungan sewajarnya, manakala M40 turut menikmati manfaat pembangunan.
Katanya, kedua-dua kumpulan mempunyai keperluan dan cabaran berbeza yang memerlukan dasar seimbang serta berkesan.
Beliau turut menekankan kepentingan bantuan kepada golongan memerlukan, pelaburan dalam pendidikan dan kesihatan, sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), serta kebajikan pekerja gig.
Usaha itu, katanya, penting bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati pelbagai lapisan masyarakat, termasuk golongan muda dan pekerja yang bergantung kepada ekonomi digital.
Dalam pada itu, Syed Ahmad yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN menyambut baik langkah berkaitan pengecualian duti hiburan bagi tiket filem dan persembahan teater tempatan di Wilayah Persekutuan mulai 2027, selain pengecualian bagi aktiviti kesenian, kebudayaan, hiburan dan sukan di Stadium Merdeka serta Stadium Negara.
Menurutnya, langkah itu berpotensi mengurangkan kos kepada penonton, termasuk keluarga B40 dan M40, di samping membantu merancakkan industri kreatif tempatan.
"Akses kepada aktiviti seni, budaya dan hiburan yang lebih mampu milik juga penting untuk membina masyarakat yang seimbang serta memberikan ruang kepada keluarga menikmati aktiviti bersama tanpa tekanan perbelanjaan yang berlebihan," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata manfaat pengecualian duti hiburan perlu dilaksanakan secara berkesan supaya penggiat seni, penerbit tempatan dan bakat baharu turut mendapat peluang untuk berkembang.
Katanya, industri kreatif perlu dilihat sebagai sebahagian daripada ekosistem ekonomi negara yang berupaya menjana pendapatan, mewujudkan pekerjaan dan mengembangkan bakat tempatan.
Syed Ahmad berkata, kekuatan Belanjawan 2027 juga terletak pada keupayaannya menghubungkan bantuan jangka pendek dengan pembaharuan jangka panjang.
Menurutnya, bantuan kewangan penting bagi menangani tekanan semasa, namun peluang pekerjaan lebih baik, peningkatan kemahiran, penggunaan teknologi dan pertumbuhan perniagaan tempatan turut diperlukan untuk memperkukuh kedudukan kewangan isi rumah.
Beliau menegaskan kejayaan belanjawan berkenaan bergantung pada pelaksanaan cekap, penyampaian berkesan dan ketelusan dalam memastikan setiap peruntukan memberikan manfaat nyata kepada rakyat.
"Keutamaan harus diberikan kepada dasar yang bukan sahaja membantu golongan B40 keluar daripada kesempitan hidup, malah membolehkan golongan M40 mengekalkan kestabilan kewangan dan meningkatkan taraf hidup mereka," katanya yang juga Ketua Cabang Ampang.
Beliau berharap Belanjawan 2027 menjadi pemangkin kepada pembangunan lebih adil dan seimbang, dengan kemajuan ekonomi negara bergerak seiring peningkatan kualiti hidup rakyat tanpa mengira latar belakang pendapatan.




Comments