Penarafan tahap 2, KDN kukuh usaha banteras pemerdagangan orang


Malaysia mengekalkan penarafan Tahap 2 dalam Laporan Pemerdagangan Orang 2026 Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) untuk tahun ketiga berturut-turut sekali gus mencerminkan peningkatan usaha penguatkuasaan undang-undang, perlindungan mangsa dan tindakan terhadap pihak yang didakwa bersubahat dalam jenayah berkenaan.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyifatkan pengekalan penarafan itu sebagai pengiktirafan antarabangsa terhadap usaha berterusan kerajaan membanteras pemerdagangan orang, termasuk melalui peningkatan penyiasatan, pendakwaan dan sabitan kesalahan.
"Penarafan Tahap 2 ini mencerminkan pengiktirafan antarabangsa berterusan terhadap daya usaha mampan dan tekal Negara dalam membanteras jenayah pemerdagangan orang," kata KDN dalam kenyataan.
Antara pencapaian yang direkodkan ialah pendakwaan terhadap penjawat awam yang didakwa bersubahat dalam jenayah itu, peningkatan peruntukan kerajaan bagi usaha antipemerdagangan orang serta penambahan pegawai khusus untuk membantu dan mengenal pasti mangsa.
KDN berkata usaha berkenaan turut melibatkan penambahbaikan peraturan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), pembukaan rumah perlindungan baharu kendalian badan bukan kerajaan (NGO) serta peningkatan keupayaan penguatkuasaan di Sabah dan Sarawak.
Selain itu, operasi penguatkuasaan dipertingkatkan di sektor berisiko tinggi, khususnya perladangan kelapa sawit dan pembuatan sarung tangan getah, bagi menangani eksploitasi buruh yang merupakan antara bentuk utama jenayah pemerdagangan orang.
Menurut KDN, pengekalan penarafan itu turut memberi kesan strategik kepada negara dengan meningkatkan keyakinan pelabur antarabangsa dan rantaian bekalan global terhadap industri tempatan.
"Kedudukan Tahap 2 ini membuktikan komitmen Malaysia dalam mematuhi piawaian Alam Sekitar, Sosial dan Tata Kelola (ESG)," menurut kenyataan itu.
KDN berkata kerajaan akan terus memperkukuh integriti penjawat awam, menambah baik sistem pengurusan mangsa mengikut piawaian antarabangsa serta meningkatkan kerjasama dengan pertubuhan masyarakat sivil dan NGO.
Langkah itu turut melibatkan penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan bagi meningkatkan keberkesanan usaha membanteras jenayah berkenaan, katanya.
"Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) yang diterajui KDN bersama agensi-agensi Kerajaan lain beriltizam melaksanakan tindakan bersepadu termasuk menangani trend baharu seperti penipuan pekerjaan," katanya.
KDN turut memaklumkan laporan AS menggariskan lapan syor penambahbaikan untuk tempoh penilaian berikutnya termasuk mempertingkat mekanisme pengenalpastian awal mangsa, memperkukuh kualiti siasatan, menangani isu bayaran pengambilan pekerja serta memperluas kerjasama dengan NGO.
"Kerajaan MADANI yakin pendekatan menyeluruh ini akan memperkukuh keberkesanan usaha Negara dalam membanteras jenayah pemerdagangan orang, membawa pesalah ke muka pengadilan, menegakkan hak asasi serta melindungi mangsa sekali
gus menjamin ketenteraman awam dan keselamatan negara," katanya.
Dalam pada itu laporan Jabatan Negara AS yang dimuat naik melalui laman web rasminya hari ini mengiktiraf peningkatan usaha penguatkuasaan Malaysia dengan 209 siasatan pemerdagangan orang dimulakan dalam tempoh pelaporan berbanding 188 sebelumnya.
Pendakwaan terhadap suspek meningkat daripada 72 kepada 128 manakala mahkamah mensabitkan 36 pesalah berbanding 26 dalam tempoh terdahulu.
Bagaimanapun, laporan itu menyatakan Malaysia masih belum memenuhi sepenuhnya piawaian minimum bagi penghapusan pemerdagangan orang, meskipun menunjukkan usaha signifikan untuk mencapainya.
Antara kebimbangan yang dibangkitkan ialah penurunan jumlah mangsa yang disahkan kepada 132 orang berbanding 160 sebelumnya selain pelaksanaan prosedur pengenalpastian mangsa yang tidak konsisten dan penglibatan pegawai dalam jenayah berkenaan.
Laporan itu turut menyatakan pengawalseliaan ejen pengambilan pekerja masih belum berkesan, sedangkan bayaran pengambilan yang tinggi boleh menyebabkan pekerja migran terjerat dalam hutang dan terdedah kepada buruh paksa.
Dalam tempoh pelaporan, kerajaan Malaysia membawa pulang 108 rakyat Malaysia yang terlibat dalam operasi penipuan dalam talian di luar negara tetapi hanya empat dikenal pasti sebagai mangsa pemerdagangan orang.




Comments