Tidak wujud "tapak ganti" kuil, tanah sudah lama bawah zon RIBI - Exco


Kerajaan negeri Selangor menegaskan dakwaan kononnya wujud “tapak ganti” kuil dan gurdwara yang didakwa menceroboh tanah perkuburan Islam di PJS4, Petaling Jaya adalah tidak tepat dan mengelirukan.
Exco Hal Ehwal Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah (gambar) berkata, semakan bersama Pejabat Tanah Petaling dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengesahkan tapak yang diperkatakan itu telah lama dizonkan sebagai Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) dan tidak pernah dicadangkan sebagai tapak surau.
Beliau berkata, persepsi yang cuba dibentuk melalui hantaran media sosial seorang aktivis pada 23 Januari lalu seolah-olah menunjukkan tapak surau telah diambil dan ditukar menjadi tapak kuil, sekali gus menimbulkan kebimbangan serta rungutan dalam kalangan netizen adalah tidak benar.
"Hakikatnya, tapak RIBI tersebut bukan tapak ganti kepada pencerobohan sedia ada dan juga tidak pernah menjadi tapak surau yang diubah statusnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Dr Fahmi, sekiranya pihak kuil berhasrat untuk menduduki tapak RIBI berkenaan secara sah, permohonan rasmi masih perlu dikemukakan kepada MBPJ dan Pejabat Tanah Petaling, tertakluk kepada kelulusan agensi berkaitan.
Mengulas isu pencerobohan tanah perkuburan Islam di kawasan itu pula, beliau menegaskan Kerajaan Negeri telah mempunyai perancangan, tindakan serta garis masa yang jelas bagi merobohkan binaan tidak sah di atas tanah berkenaan.
"Langkah ini penting supaya kerja-kerja pembangunan tapak perkuburan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang telah lama tertangguh dapat dimulakan seawal Jun ini," katanya.
Sehubungan itu, Dr Fahmi menyeru semua pihak, sama ada Islam atau bukan Islam supaya bertenang dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan sentimen perkauman atau menyinggung sensitiviti masyarakat majmuk.
"Biarlah agensi berkaitan menjalankan tugas mereka secara cermat dan teratur berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus menjaga dan mempertahankan tanah-tanah di bawah pengurusan institusi Islam negeri daripada sebarang bentuk pencerobohan dan salah guna.
"Kerajaan Negeri kekal komited memastikan tanah wakaf dan tanah perkuburan Islam dilindungi sepenuhnya mengikut peruntukan undang-undang," katanya.




Comments