Tidak wajar salahkan PH, Umno sendiri pilih hala tuju politik - Dr Xavier


Umno tidak wajar menyalahkan Pakatan Harapan (PH) atas kecenderungan parti itu untuk mendekati Pas pada waktu ini kerana keputusan berkenaan dibuat secara sukarela bagi memastikan kelangsungan politiknya, kata bekas menteri yang baru kembali menyertai KEADILAN, Datuk Dr Xavier Jayakumar.
Beliau berkata Umno sendiri memilih untuk menyertai Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 malah menerima tujuh jawatan menteri dan lima timbalan menteri termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.
"Tiada siapa memaksa Umno menyertai kerajaan perpaduan. Umno memilih untuk menyertainya secara sukarela dan kekal selama lebih tiga tahun, sambil menikmati manfaat sepanjang tempoh tersebut.
"Jadi di mana sebenarnya PH ‘menolak’ Umno ke dalam pelukan Pas?" katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Xavier yang merupakan mantan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli berkata Umno-BN hanya memperoleh 26 kerusi Parlimen pada PRU-15 sekali gus tidak mempunyai jumlah mencukupi untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.

Menurut beliau, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu mengetuai usaha membentuk kerajaan pasca pilihanraya telah membawa Umno menyertai kerajaan bagi memastikan kestabilan politik negara.
Beliau berkata Umno ketika itu juga sedar bahawa parti berkenaan akan mentadbir bersama DAP serta parti-parti dari Malaysia Timur.
"Umno sememangnya tahu bahawa ia akan mentadbir bersama DAP dan parti-parti dari Malaysia Timur. Tiada siapa yang membantah ketika itu.
"Setiap Ahli Parlimen Umno (sehingga kini) menerima manfaat daripada kedudukan dalam kerajaan tanpa banyak soal," katanya.
Terdahulu, laporan media tempatan memetik Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh berkata PH telah “menolak” Umno ke arah Pas khususnya selepas perkembangan yang menunjukkan wujud 'keterbukaan' lebih besar antara kedua-dua parti berkenaan.
Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sebelum ini dilaporkan membuka ruang lebih luas untuk “tafahum siyasi” atau persefahaman politik dengan Pas selain mencadangkan himpunan perpaduan Melayu-Islam berskala besar.
Dr Xavier berkata perkembangan berkenaan menunjukkan Umno sendiri sedang mencari jalan untuk kekal relevan dalam landskap politik semasa.
"Ini bukan tindakan PH sebaliknya ia adalah usaha terdesak Umno sendiri untuk terus kekal relevan.
"Tiada siapa boleh memaksa seseorang berada dalam keadaan terdesak," katanya.
Beliau turut mengkritik pendirian sesetengah pemimpin Umno yang menyerang KEADILAN dan DAP sebagai “penyakit” yang perlu “diubati”, sedangkan kedua-dua parti berkenaan telah duduk bersama Umno dalam Kabinet selama lebih tiga tahun.
Menurut Dr Xavier, percanggahan pendirian dalam Umno juga dapat dilihat apabila kepimpinan parti itu pada masa sama memberi isyarat terbuka kepada Pas, namun menegaskan bahawa Umno tidak memerlukan pakatan politik baharu.
"Jika inilah yang dimaksudkan dengan perpaduan, rakyat Malaysia berhak bertanya, perpaduan untuk siapa dan berapakah nilainya?" kata beliau.
Dalam pada itu, Dr Xavier mengingatkan Umno supaya tidak mengabaikan sejarah penubuhan Barisan Nasional dan legasi kemerdekaan negara dalam mengejar kuasa politik.
Katanya, pemimpin Umno terdahulu Tunku Abdul Rahman tidak mencapai kemerdekaan secara bersendirian sebaliknya bersama masyarakat Cina dan India yang turut berdiri di belakang perjuangan kemerdekaan.
"Menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Pas atau mempertimbangkan untuk bekerjasama dengan sebuah parti yang menggunakan kaum dan agama sebagai alat untuk mendapatkan kuasa seolah-olah mengkhianati legasi tersebut.
"Sejauh mana Umno sanggup merendahkan dirinya hanya untuk terus menguasai Putrajaya?" soalnya.
Dr Xavier berkata Umno sepatutnya bertanggungjawab terhadap hala tuju politik yang dipilihnya sendiri dengan tidak menjadikan PH sebagai kambing hitam.
Beliau berkata rakyat Malaysia berhak melihat politik yang mengutamakan perkara yang menyatukan masyarakat dan bukannya pendekatan yang mengeksploitasi perbezaan kaum dan agama.
"Legasi yang kita tinggalkan kepada anak-anak kita ialah masa depan yang dibina atas perkara yang menyatukan rakyat Malaysia, bukan perkara yang memecah-belahkan mereka.
"Bola kini berada di gelanggang Umno," katanya lagi.




Comments