Tidak wajar anggap PH sebagai 'musuh' di Johor - Jimmy Puah
- Helmi Mohd Foad

- 2 hours ago
- 2 min read

Dakwaan segelintir kepimpinan UMNO Johor bahawa wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) di negeri tersebut amat tidak membantu dan jauh tersasar daripada realiti di lapangan.
Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse (gambar) berkata kepimpinan parti itu sepatutnya memahami bahawa semua wakil rakyat tidak meluluskan peruntukan secara terus kepada mana-mana parti.
"Mungkin UMNO Johor mudah lupa, atau sengaja tidak mahu faham. Wakil rakyat Pakatan Harapan, termasuk saya, memang tidak akan meluluskan peruntukan kepada mana-mana parti politik.
"Tetapi itu sama sekali tidak bermakna kami menolak untuk membantu rakyat," katanya dalam kenyataan.
Laporan media tempatan sebelum ini memetik Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor, Abdul Halim Suleiman sebagai berkata terdapat Ahli Parlimen PH di negeri itu yang tidak pernah turun membantu UMNO dalam melaksanakan program atau menyalurkan peruntukan bagi membantu aktiviti di peringkat akar umbi.
Jelas Jimmy Puah, peruntukan bagi kawasan Parlimen Tebrau sendiri disalurkan kepada masyarakat melalui saluran yang sah seperti surau dan JPKK, termasuk di kampung-kampung yang ketua kampungnya serta pengerusi surau daripada UMNO.
Malah kata beliau Kerajaan Persekutuan terus menyalurkan pelbagai bentuk bantuan dan pembangunan ke kampung-kampung Melayu melalui inisiatif seperti Sejati Madani dan Kampung Angkat MADANI.
"Di bawah Parlimen Tebrau, sebagai contoh, Kampung Maju Jaya menerima sekitar RM1.2 juta peruntukan pusat tahun lalu yang disalurkan menerusi Pejabat Daerah dan JPKK.
"Maka amat mustahil Setiausaha UMNO Johor yang juga Ketua Bahagian UMNO Tebrau tidak tahu perkara ini," kata beliau.
Pada masa sama, Jimmy Puah mempersoalkan mengapa selama ini Kerajaan Negeri tidak pernah mempelawa PH menyertai mereka selaras dengan semangat kerjasama di peringkat pusat.
"Jika Melaka boleh mengambil pendekatan lebih terbuka, dan selepas PRN 2023 di Selangor juga wujud tawaran jawatan kepada wakil UMNO, mengapa Johor terus bersikap dingin terhadap PH? Ini persoalan politik yang munasabah dan wajar dijelaskan," katanya.
Beliau berkata segelintir pemimpin dalam UMNO tidak sewajarnya cuba menggambarkan PH sebagai pihak yang memusuhi BN di Johor.
Jelas beliau hakikatnya, PH tidak pernah melihat mereka sebagai musuh namun sehingga kini, BN Johor sendiri belum benar-benar menunjukkan bahawa mereka melihat PH sebagai rakan.
"Kalau mahu bercakap soal kerjasama, biarlah ikhlas dan berasaskan realiti, bukan sekadar retorik menjelang pilihan raya," ujarnya.




Comments