Isu kurangnya Ahli Parlimen DAP diberi jawatan Menteri biar pun mempunyai jumlah ahli parlimen kedua terbanyak di Dewan Rakyat tidak timbul sama sekali berdasarkan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP dan Ahli ahli Parlimen yang menang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.
Hal itu ditegaskan oleh Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook dalam sidang media semalam.
Katanya, DAP telah memanggil dua mesyuarat berhubung penyertaan parti tersebut dalam apa sahaja keputusan yang bakal di buat oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim
Mesyuarat pertama CEC dan Ahli Parlimen pada 11 November menyaksikan keputusan memberi mandat kepada Setiausaha Agung DAP menyokong penuh Anwar sebagai PM tanpa syarat.
"Dengan mandat tersebut 22 November sebelum Datuk Seri Anwar berangkat ke Istana Negara saya berada di pejabat beliau di Bukit Gasing menyatakan komitmen saya bagi pihak DAP menyatakan Ahli Parlimen DAP menyokong beliau sebagai PM tanpa apa apa syarat.
"Saya nyatakan komitmen tanpa apa apa syarat. Kita tak pernah letak apa apa syarat segi jumlah kabinet, potforlio dan sebagainya.
"Itu mandat dan keputusan yang dibuat oleh semua Ahli Parlimen dan CEC. 22 November beliau menghadap Agong dan bersetuju bentuk Kerajaan Perpaduan. Pada 24 November Anwar angkat sumpah," katanya.
Selepas upacara angkat sumpah, tambah Ahli Parlimen Seremban itu, beliau memanggil satu lagi mesyuarat CEC dan Ahli Parlimen DAP.
Mesyuarat kedua itu membincangkan apakah DAP akan menerima lantikan kabinet dalam kerajaan PM Anwar Ibrahim.
"Dalam menyuarat tersebut saya melontar soalan kepada semua Ahli Parlimen dan CEC DAP. Soalan pertama, sekarang Anwar telah angkat sumpah, soalan seterusnya adakah DAP mahu bersama terlibat dalam kerajaan ini, anggotai kabinet Anwar? Keputusan pada malam itu sebulat suara ya. Semua Ahli Parlimen dan parti akan sertai Kerajaan Perpaduan tanpa syarat sekali lagi.
"Jadi ada 4 Ahli Parlimen DAP telah dipilih sertai kabinet Anwar. Penyertaan DAP dalam kerajaan perpaduan ini hanya satu objektif iaitu mendukung kepimpinan Datuk Seri Anwar untuk menjayakan Kerajaan Perpaduan ini. Maknanya kalau Anwar berjaya maka kerajaan berjaya dan Malaysia akan berjaya.
"Itu sahaja objektif yang ada pada kita. Kita akan membuat segala yang kita boleh dan berusaha bersungguh sungguh menyokong kepimpinan beliau dan membuktikan DAP ikhlas dalam membentik Kerajaan Perpaduan," katanya.
Selain itu, Loke berterima kasih dengan lantikan ke kabinet 4 Ahli Parlimen parti itu sebagai Menteri penuh dan berikrar akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada negara.
"Potforlio diberikan kepada DAP penting iaitu Kementerian Pengangkutan, Kemeterian Kerajaan Tempatan, Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Sumber Manusia.
"Sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Anwar kerana berikan kepercayaan kepada kita anggotai kabinet beliau," katanya lagi.
Penjelasan Loke itu dibuat selepas terdapat kritikan daripada Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow yang kurang puas hati kecilnya jumlah Menteri daripada DAP, sedangkan parti yang kurang Ahli Parlimen berbanding parti itu mendapat lantikan Menteri yang lebih banyak.
Comments