Tidak timbul isu Anwar hilang kelayakan Perdana Menteri - AGC
- Suara Keadilan

- Aug 15
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Tidak timbul sebarang isu berkaitan kelayakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ahli Parlimen Tambun dan Perdana Menteri seperti yang dipertikai bekas pemimpin Hindraf, P Waythamoorthy.
Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan, alasan saman pemula Waythamoorthy bahawa pengampunan diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-15 kepada Anwar tidak membatalkan kehilangan kelayakan seperti digariskan di bawah Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan adalah tersasar.
"Mahkamah Rayuan dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim v Mohd Khairul Azam Abdul Aziz [2023] 2 MLJ 545 telah memutuskan YDPA mempunyai kuasa untuk memberikan pengampunan terhadap sabitan dan hukuman.
"Perintah Pengampunan yang dititahkan oleh YDPA ke-15 menyatakan Datuk Seri Anwar telah diberikan pengampunan sepenuhnya dan dianggap sebagai seorang yang tidak pernah melakukan sebarang kesalahan.
"Oleh itu, tidak timbul isu kehilangan kelayakan beliau sebagai Ahli Dewan Rakyat dan Perdana Menteri," jelas AGC menerusi kenyataan.
Selasa lalu, Waytha memfailkan saman pemula terhadap Anwar bagi memohon pengisytiharan bahawa kehilangan kelayakan Anwar sebagai ahli Dewan Rakyat “tidak pernah dibatalkan” oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 48(3) Perlembagaan Persekutuan.
Pengerusi Parti Kemajuan Malaysia (MAP) itu turut memohon mahkamah mengisytiharkan kemenangan Anwar di kerusi Parlimen Tambun pada PRU15, 19 November 2022 terbatal dan tidak sah
Sementara itu AGC menegaskan, sebarang cabaran terhadap pemilihan seseorang Ahli Parlimen hendaklah dibuat melalui petisyen pilihanraya seperti diperuntukkan di bawah Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan.
Cabaran tersebut pula mestilah difailkan dalam tempoh ditetapkan di bawah Seksyen 38 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.









Comments