Tidak terkesan pergolakan politik, Hans Isaac terus bantu penduduk Ampang


Penggiat seni Datuk Hans Isaac terus memberi bantuan barangan keperluan harian kepada penduduk pelbagai kaum di Parlimen Ampang.
Hans yang kini menjadi aktivis KEADILAN bersama NGO Kita Budak Ampang telah melipat gandakan bantuan ketika rakyat kehilangan sumber pencarian akibat Perintah Kawalan Pergerakan yang belum ditarik balik di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
"Tidak terkesan dengan pergolakan politik dalam negara, @KelabKitaBudakAmpang (KBA) terus kekal dengan agenda menjadi agen kebajikan masyarakat.
"Saya bersama pasukan KBA meneruskan bantuan keperluan barangan asas kepada beberapa keluarga yang memerlukan di sekitar Kg. Muhibbah Lembah Jaya Utara dan Kg. Indah Lembah Jaya Selatan, Ampang," katanya.
Hans berharap lebih ramai lagi akan turut bersama dalam memberikan sumbangan.
Katanya, niat Kita Budak Ampang jelas, untuk mengumpul semua tenaga tanpa mengira bangsa dan agama untuk agenda membantu masyarakat.
"Sejak dari awal lagi saya dan pasukan KBA mengerah tenaga dengan kudrat dan kewangan sendiri untuk menjalankan kebajikan tanpa mengharapkan sumbangan dan bantuan luar.
"Kami percaya walaupun pelbagai cabaran yang kami lalui termasuk pelbagai tohmahan, kami tetap teruskan dengan kekuatan dan sumber kewangan sendiri hanya dengan hanya satu tujuan untuk berbakti kepada masyarakat," katanya lagi.




Comments