top of page

Tidak tahu beza GLC, badan berkanun: Sheikh Omar bidas Puad Zarkashi

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 12 hours ago
  • 2 min read

DAP Johor membidas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi kerana didakwa mengelirukan rakyat apabila menyamakan badan berkanun dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam mengulas cadangan pelantikan bekas wakil rakyat Skudai, Marina Ibrahim.


Naib Pengerusinya Sheikh Omar Ali (gambar) berkata, kritikan yang dilemparkan Puad terhadap cadangan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching itu menunjukkan kegagalan memahami perbezaan asas antara badan berkanun dan GLC.


"Sefaham saya apa yang dijelaskan oleh Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching merupakan 'badan berkanun'. Bukan GLC," katanya dalam hantaran di media sosial.


Sheikh Omar yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Johor berkata, perbezaan antara kedua-dua entiti itu adalah jelas dan tidak sepatutnya dikelirukan dalam perbahasan awam.


"Ada beza antara badan berkanun dan GLC. Badan berkanun ditubuhkan melalui Akta Parlimen atau Enakmen Negeri bagi melaksanakan dasar awam serta mencapai objektif sosioekonomi tertentu," katanya.


Menurut beliau, badan berkanun diwujudkan bagi membantu kerajaan melaksanakan dasar-dasar awam serta memenuhi kepentingan rakyat berdasarkan mandat yang ditetapkan melalui undang-undang.


"Sebaliknya GLC merupakan syarikat yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat 2016 dan kerajaan bertindak sebagai pemegang saham utama," katanya.


Sheikh Omar berkata, cadangan terhadap Marina tidak seharusnya dilihat melalui lensa politik semata-mata, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan kemampuan individu berkenaan menyumbang kepada pelaksanaan dasar kerajaan.


"Cadangan Teo Nie Ching kepada Marina akan membuka kemungkinan ruang untuk beliau memainkan peranan membantu Kerajaan melaksanakan dasar-dasar untuk kepentingan awam.


"Cadangan ini tentunya harus ambil kira trek rekod dan kemampuan yang dipamerkan," katanya.


Beliau menegaskan perbincangan mengenai pelantikan ke badan berkanun perlu dibuat secara matang dan berdasarkan fakta, bukannya dakwaan yang boleh mengelirukan rakyat.


"Ada beza antara badan berkanun dan GLC. Badan berkanun ditubuhkan melalui Akta Parlimen atau Enakmen Negeri bagi melaksanakan dasar awam serta mencapai objektif sosioekonomi tertentu.


Terdahulu kontroversi berhubung perkara itu tercetus selepas Marina yang juga bekas ADUN Skudai mengumumkan persaraannya daripada politik sekali gus tidak akan mempertahankan kerusinya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.


Susulan itu, tular sepucuk surat yang didakwa ditulis Marina antara lain menyebut beliau ditawarkan untuk bertanding di kerusi DUN Tiram.


Namun beliau dikatakan akan ditawarkan menyertai sebuah badan berkanun sekiranya tidak berjaya dalam pilihanraya.


Perkara itu kemudiannya mengundang kritikan Puad yang mendakwa tawaran tersebut menyerupai ganjaran politik melalui pelantikan ke GLC.


Bagaimanapun, Nie Ching sebelum ini menjelaskan jawatan yang dimaksudkan bukan GLC, sebaliknya sebuah badan berkanun berkaitan kerja-kerja kebajikan dan pembangunan masyarakat, selaras dengan pengalaman serta rekod perkhidmatan Marina.


Mengulas lanjut, Sheikh Omar berkata pentadbiran negara ketika ini mempunyai beberapa contoh individu yang berjaya memimpin institusi awam dengan berkesan, sekali gus membuktikan bahawa keupayaan dan prestasi harus menjadi ukuran utama.


"Contohnya Datuk Asyraf Wajdi Dusuki (Setiausaha Agung UMNO) yang memimpin MARA.


"Beliau rajin sehingga terkenal dengan jolokan 'Daddy MARA'. Beliau terserlah dengan pelbagai inisiatif memperkukuh pendidikan serta pembangunan usahawan Bumiputera," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page