
Kemelut pelantikan Perdana Menteri (PM) yang sehingga hari ketiga selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 masih tidak menjadi kenyataan adalah akibat sikap pemimpin politik yang tidak melihat kepentingan rakyat perlu diutamakan.
Menurut Pengerusi Biro Antarabangsa KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, PRU 15 sewajarnya menjadi titik tolak negara bergerak ke hadapan selepas wabak Covid 19 dan kejatuhan ekonomi.
Katanya, rakyat tidak boleh dihadapkan keadaan parlimen tergantung berpanjangan.
"Sebab itu bila dijemput (Pengerusi Pakatan Harapan) Datuk Seri Anwar dan Muhyiddin ke Istana Negara, Pengerusi PN (malangnya) tidak bersedia buat kerajaan secara bersama. Pada saya mengejutkan, kerana dari segi gabungan yang paling tinggi ialah PH dan kedua PN.
"Kalau kita fikirkan kepentingan negara dan rakyat, belanjawan yang belum diluluskan (ada peluang untuk kerajaan campuran) tetapi perkara ini tidak berlaku," katanya dalam forum Sinar Harian, PM Muhyiddin atau Anwar, petang ini.
Bagi Pakatan Harapan (PH) katanya, kepentingan rakyat tidak boleh dikompromi. Meskipun sebelum itu, katanya, PH banyak bertentangan ideologi politik dengan BN namun apabila menghadapi kepentingan rakyat, pemimin PH rela berkorban untuk membentuk kerajaan bersama, terutamanya di Perak.
"Dalam konteks ini Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab memilih pemimpin berwibawa untuk memacu negara keluar dari masalah ini, dan dalam hal ini saya minta parti lain memikirkan pasca pilihan raya ini bagaimana nak bawa negara ke depan. Soal dalam kempen serangan yang lalu, kalau kita nak hitung tak selesai masalah
"Itu sebab perlu kesediaan untuk meninggal apa yang berlaku dan selesai masalah negara
"Kalau tengok Perlembagaan, Agong tidak perlu rinci sebegini. Saya kadang kadang malu, kita ahli politik dipilih rakyat, Tuanku bukan ahli politik tetapi Tuanku pula terpaksa jumpa ketua parti dan Ahli Parlimen.
"Sepatutnya beliau sebagai Agong ikut apa yang tersedia dan kita sebagai ahli politik berbincang. Majukan kepada beliau sebagai ketua negara," katanya.
Mengenai hujah sesetengah golongan berdasarkan sistem westminister yang mana kerajaan minioriti boleh dilantik dan kemudian melakukan mamorandum kerjasama (MoU) dengan pembangkang untuk meluluskan belanjawan, Shamsul berkata, kerana itu pemilihan PM tidak terikat kepada nilai ambang 112 kerusi sebagaimana kefahaman banyak pihak.
"Keumuman pemilihan PM itu ialah orang yang pada hemat Baginda mendapat sokongan majoriti. Tidak dinyatakan majoriti itu bagaimana, kena melepasi 112. Pada saya orang yang menulis Perlembagaan faham bahawa satu ketika akan berlaku keadaan begini.
"Satu pasukan dapat 70, satu pasukan dapat 90 dan satu pasukan dapat 80. Jadi yang ada majoriti (ketika ini) adalah pengerusi PH. Sewajarnya pengerusi itu berunding dengan sesiapa yang bersetuju, dan kemudian bawa ke Agong, ini keputusan kita
"Dalam Perlembagaan kita, lepas pilihan raya Agong ada kuasa memilih PM," katanya lagi.