Tidak sembunyi kes, Menteri turun padang mampu selesai keganasan di sekolah
- Suara Keadilan

- Oct 22
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Tindakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang sering turun padang mencari akar umbi masalah pada setiap kali berlaku insiden jenayah di sekolah dijangka mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi institusi pendidikan negara dalam masa terdekat.
Menurut mantan Pengetua Maahad Tahfiz Al-Fateh, Jalan Kebun, Shah Alam, Ustaz Mohd Zawawi Ahmad Mughni, isu berkaitan pendidikan dan masalah pelajar yang terlibat dalam tingkah laku menyimpang (deviant) sebenarnya bukanlah perkara baharu.
Katanya, sewaktu beliau masih berkhidmat sebagai guru sedekad lalu, hal itu telah pun berlaku namun tidak begitu dibesar besarkan sebagaimana pada era media sosial menguasai pendapat umum pada waktu ini.
"Saya merupakan bekas Ketua Guru Disiplin dan Guru Kaunseling. Jadi saya memahami (situasi tersebut) cuma waktu itu mungkin tidak ada media sosial seperti hari ini yang cepat tersebar luas.
"Pendekatan yang dibuat oleh Kerajaan MADANI ialah untuk menyelesaikan masalah. Jika berlaku isu, maka diselesaikan sehingga ke peringkat akar umbi.
"Jadi isu-isu seperti itu bukan bersifat 'bermusim', maknanya bila timbul sesuatu isu, maka isu berkenaan ditangani (segera)," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Mantan Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis itu diminta mengulas mengenai polisi Kerajaan MADANI yang tidak menyembunyikan masalah di sekolah.
Mengulas lanjut, beliau berkata, untuk lebih adil dalam menyelesaikan masalah, ibu bapa juga seharusnya memainkan peranan utama.

Ujar beliau, disiplin anak anak bermula dari rumah kerana mereka menghabis waktu yang lebih panjang bersama keluarga berbanding di sekolah.
''Bukan hanya menyalahkan menteri sebagai jalan mudah untuk menjadikan mereka 'kambing hitam'.
''Semua pihak termasuk ibu bapa, guru dan pihak kementerian harus sentiasa bekerjasama untuk menyelesaikan masalah. Itu yang paling penting sekali,'' ujarnya.
Mengenai cadangan pakar psikologi dilibatkan dalam menangani masalah terkini remaja dan kanak kanak sekolah yang dianggap 'ketagih' permainan (game) atas talian dan menghabiskan terlalu banyak masa dengan gajet, Ust Zawawi mengalu alukan perkara itu.
Katanya, kaunselor-kaunselor terlatih dalam psikologi dan kaunseling sudahpun ditempatkan di sekolah-sekolah, namun peranan mereka perlu diperkasakan lagi merangkumi aspek latihan dan pendedahan di peringkat maklumat, supaya kaunselor dapat berfungsi dengan lebih baik.
''Pada pendapat saya, jika ada kekurangan kaunselor kementerian harus memikirkan untuk menambah jumlah kaunselor, namun perkara itu bergantung kepada keperluan semasa.
''Apabila zaman dan teknologi berubah, maknanya kecenderungan anak-anak itu (juga berubah) ke arah teknologi.
''Jadi cabaran kepada guru ialah apabila anak-anak itu datang ke sekolah mungkin (mereka dalam keadaan) mengantuk dan dalam minda mereka banyak faktor-faktor (negatif) kerana banyak main 'game' menyebabkan tingkah laku mereka itu sudah tidak lagi manusiawi,'' katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Zawawi berkata, pengaruh permainan video dan elemen digital kini turut membentuk tingkah laku agresif dalam kalangan remaja yang tidak berlaku kepada kanak kanak sedekad lalu.
''Pelajar itu kemudiannya dipengaruhi oleh robot dan ‘game’ sehingga apabila berlakunya kes-kes jenayah, ia menjadi kes jenayah yang begitu kejam seperti mana dalam permainan video.
"Segelintir ibu bapa juga semakin terbuka membenarkan anak-anak mereka mengakses teknologi tanpa memberikan ilmu untuk menapis perkara yang baik dan tidak baik.
''Jadi perkara ini harus dicermati dan semua pihak perlu mencari jalan keluar bagaimana bagi membetulkan keadaan ini supaya anak-anak dapat membesar dalam suasana yang positif dan kondusif serta tidak terjebak dalam kemajuan teknologi digital hari ini,'' ujar beliau lagi.









Comments