top of page

Tidak rayu 40%: Hanya PM Anwar boleh selesaikan hak Sabah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Nov 12
  • 2 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Keputusan Kerajaan Persekutuan untuk tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengenai pemberian khas 40 peratus kepada Sabah memperlihatkan hanya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) yang mampu menyelesaikan masalah tuntutan hak Sabah.


Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sabah, Zaidi Jatil (gambar), biarpun parti dan pemimpin politik bukan kerajaan di Sabah mempersoal dan memperkecilkan usaha PMX membantu negeri di bawah bayu itu - termasuk bertanya di tempat awam bilakah 40 peratus hasil cukai akan dikembalikan - namun terbukti hanya Datuk Seri Anwar yang benar benar berani merealisasikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan syarat syaratnya.


"(Keputusan tidak merayu) itu menggambarkan PM Anwar seorang pemimpin yang begitu cakna dengan isu tempatan di sini (Sabah).


"Kami menyokong sepenuhnya tindakan yang dilakukan Kerajaan Persekutuan itu," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan hari ini.


Mengenai jumlah yang sering dituntut ahli politik Sabah sebanyak 40 peratus atau RM4 bilion daripada hasil keseluruhan cukai sebanyak RM10 bilion, sama ada cukup untuk membangunkan Sabah, Zaidi sebaliknya berkata jumlah sebanyak itu sukar untuk menjana pembangunan.


Beliau menjelaskan, pada waktu ini pun PMX terpaksa menambah sekitar RM7 bilion kepada peruntukan tahun 2025 bagi memastikan pembinaan pelbagai kemudahan di Sabah terus berjalan.


Oleh itu katanya, untuk melicinkan urusan pengembalian hak dan meneruskan pembangunan, beliau mencadangkan satu jawatankuasa dibentuk bagi menentukan mekanisme pengembalian hasil cukai berkenaan.


"Saya berpendapat, perlu ada jawatankuasa khas untuk mengira kadar cukai tahunan Sabah pada setiap tahun.


"Mungkin sekarang PM Anwar sebut RM10 bilion (hasil cukai dari Sabah pada 2024), tapi perlu juga ada wakil dari Sabah dan Semenanjung yang bersama-sama seperti dalam jawatankuasa khas rundingan MA63.


"Jika RM10 bilion, saya ingat (kalau) kita hanya menerima RM4 bilion, ia boleh menyebabkan satu kerugian kepada Sabah.


"Peruntukan yang ada sekarang ini (RM17 bilion) sebenarnya jauh lebih besar daripada 40 peratus yang kita minta. Namun pada saya, PM Anwar akan membuat satu keputusan yang cukup baik.


"Tak mungkin PM Anwar akan bagi sekadar RM4 bilion kalau ikut dalam 40 peratus tersebut, sedangkan (peruntukan) sekarang jauh lebih baik (tinggi) diberikan kepada Sabah," ujarnya lagi.


Seperkara lagi, kata Zaidi, Kerajaan MADANI disaran memberi penjelasan lebih terperinci agar rakyat tidak keliru antara tuntutan 40 peratus hasil dan peruntukan pembangunan yang disalurkan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page