Tarif elektrik naik: MCMC siasat tiga individu sebar maklumat palsu
- Akmal Manaf

- 2 hours ago
- 1 min read

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memulakan siasatan terhadap tiga individu yang disyaki menyebarkan maklumat palsu berkaitan peningkatan tarif elektrik di beberapa platform digital.
MCMC memaklumkan, maklumat palsu itu dipercayai menyalahgunakan elemen reka grafik sebuah agensi berita.
"Menurut aduan yang diterima, kandungan yang disebarkan oleh kesemua suspek berkenaan peningkatan tarif elektrik adalah bersifat palsu dan boleh menimbulkan persepsi negatif yang boleh mengakibatkan kegelisahan dan panik kepada masyarakat.
"Hasil semakan mendapati bahawa kandungan tersebut telah disunting daripada kandungan rasmi Astro AWANI.
"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan," kata MCMC dalam satu kenyataan.
MCMC menegaskan, pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform digital yang bertujuan mengelirukan orang ramai dengan penyebaran maklumat palsu.
"Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada.
"Orang ramai juga diingatkan agar sentiasa bertanggungjawab dalam menggunakan platform digital dan tidak menyalahgunakan kemudahan komunikasi bagi menyebarkan maklumat yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam," kata suruhanjaya itu lagi.




Comments