Tidak perlu darurat untuk pertahankan karier politik Muhyiddin



Darurat merupakan langkah khusus dalam menangani isu keselamatan negara, bukannya tindakan undang-undang bagi memastikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak tumbang secara demokrasi.


Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mengecam langkah yang diambil pentadbiran Perdana Menteri (PM) Muhyiddin Yassin semalam mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong agar memperkenankan perisytiharan darurat seluruh negara.


Katanya, kali terakhir darurat diisytihar ke seluruh negara adalah selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969.


Menurut Shamsul, sebaliknya keadaan politik Malaysia hari ini belum sampai ke tahap huru-hara dan memerlukan tentera campurtangan dalam urusan keselamatan.


"KEADILAN terkejut dengan laporan berita mesyuarat khas kabinet kerajaan PN pagi semalam yang mencadangkan agar DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan 'darurat pentadbiran' ke seluruh negara.


"KEADILAN berpendapat alasan untuk memerangi Covid-19 tidak boleh digunapakai untuk mewajarkan darurat. Tambahan lagi, negara-negara yang mengalami kes aktif yang lebih tinggi masih mampu menangani wabak itu tanpa mengenakan perintah darurat.


"Darurat akan menyebabkan Parlimen digantung dan sebarang usul yang dijadualkan pada persidangan bermula 2 November 2020 ini tidak akan berlaku, ini termasuklah usul ‘Undi Tidak Percaya’ yang perlu dihadapi oleh PM Muhyiddin. Bahkan sekiranya kerajaan PN kalah dalam sebarang usul yang melibatkan undian, maka besar kemungkinan PN akan tumbang dan Perdana Menteri baharu boleh dilantik.


"Apakah ini matlamat sebenar darurat yang dicadangkan PN? Darurat bagi mengelak kerajaan PN daripada gagal dalam sebarang undian? KEADILAN menentang sikap bacul pentadbiran Muhyiddin ini yang menggunakan darurat bagi mengelakkan kerajaan tumbang secara sah dan demokratik," katanya dalam satu kenyataan.


Sehubungan itu, Shamsul mengingatkan Muhyididn bahawa fikiran cetek dan sikap melulu beliau hanya akan merosakkan pasaran kewangan negara dan menyebabkan pelabur asing meninggalkan Malaysia berikutan keadaan yang tidak stabil.


Katanya, ekonomi Malaysia yang telah menguncup -17% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar pada suku kedua 2020 pasti akan terjerumus ke jurang kemelesetan sekiranya langkah yang salah diambil pemerintah.


"KEADILAN menegaskan Kerajaan PN tidak wajar memperjudikan ekonomi 32 juta rakyat Malaysia hanya kerana PN takut kehilangan kuasa.


"Bukankah Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi telah pun mengisytiharkan sokongan Umno kepada PN. Mengapakah PM Muhyiddin begitu takut dengan Datuk Seri Anwar walaupun setelah memperolehi sokongan parti Umno dalam kerajaan?


"KEADILAN berpendapat wabak Covid-19 masih mampu dikawal melalui pematuhan SOP yang ketat disamping akta-akta sedia ada. Pemerintahan darurat tidak akan menjadikan pentadbiran Malaysia lebih baik sebaliknya hanya akan menjadikan Malaysia setaraf negara Afrika yang bergolak dan ditadbir oleh seorang diktator.


"Sesungguhnya Malaysia tidak perlu darurat hanya kerana karier politik Tan Sri Muhyiddin dan kerajaan PN yang berada dalam keadaan genting, meruncing lagi darurat!" katanya.


Semalam spekulasi bertiup kencang dekri darurat akan diisytihar pada tengah malam selepas Muhyiddin mengadap Agong di istana Pahang pada sebelah petang. Namun mesyuarat selama dua jam itu tidak diketahui keputusannya sehingga ke hari ini.



PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio