Tidak perlu cetak wang, Bank Negara boleh beri pinjaman kepada kerajaan - Dr Rosli




Cadangan mencetak lebih banyak wang kertas untuk diagihkan kepada rakyat ketika ekonomi negara merosot sebagaimana diutarakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dianggap idea mengarut oleh majoriti rakyat.


Banyak yang berkomentar sekiranya idea tersebut dilaksanakan maka matawang Ringgit Malaysia akan merudum nilainya dan mungkin senasib dengan matawang negara Afrika, Zimbabwe yang tidak bernilai selepas inflasi naik berlipat kali ganda.


Bagi mantan Timbalan Pengarah Jabatan Ekonomi Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob terdapat kaedah yang lebih praktikal ketika negara perlu menggerakkan roda ekonomi menghadapi pandemik Covid 19 seperti hari ini.


Katanya, BNM boleh meminjamkan wang kepada kerajaan untuk tempoh setahun dan kerajaan melaksanakan polisi inflationary financing atau “pembiayaan melalui inflasi” dalam melawan pusingan ekonomi yang menurun atau “counter-cyclical measure.”


"Di dalam ilmu ekonomi ada konsep yang dinamakan sebagai inflationary financing. Kaedah ini membolehkan pemerintah berbelanja lebih besar melebihi kemampuan kewangannya dengan membenarkan kadar inflasi lebih tinggi di dalam ekonomi dari kadar yang sebenarnya.


"Sekiranya kadar inflasi di dalam sesebuah ekonomi itu rendah, hampir kepada zero atau di bawah zero, di sana ada ruang untuk pemerintah melaksanakan kaedah berkenaan.


"Pembiayaan kaedah ini bukan semestinya bermakna Bank Negara Malaysia mencetak wang. Cukup sekadar BNM meminjamkan wang kepada pemerintah.


"Apabila BNM meminjamkan wang kepada pemerintah, itu ertinya pemerintah membiayai perbelanjaannya secara mencetak wang. Ini memang pernah dilakukan oleh kerajaan Malaysia tetapi tidak kerap dan ia mesti dibayar balik sebelum belanjawan bagi tahun yang akan datang bermula," katanya kepada Suara Keadilan.


Bagaimanapun, kata Dr Rosli, jika kaedah itu dilaksanakan Kerajaan Perikatan Nasional perlu benar-benar fokus kepada menjana peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan kepada rakyat dan juga pemulihan ekonomi negara, bukan sebaliknya membazirkan dana untuk aktiviti yang tidak produktif.


"Kaedah “inflationary financing” boleh dilaksanakan tetapi ianya mesti dilakukan secara berhemah dan patuh kepada disiplin kewangan yang yang berkaitan amalan ini.


"Yang penting dana itu harus digunakan untuk membiayai projek-projek yang produktif dan menjana peluang pekerjaan, meningkatan pendapatan serta menambah pengeluaran barangan dan perkhidmatan di dalam ekonomi.


"Kita tidak boleh berterusan melihat lebih banyak kedai, kompleks beli belah, kilang, hotel dan seumpamanya tutup. Akibatnya ramai orang hilang pekerjaan dan hilang pendapatan.


"Ini hanya akan menyebabkan kemerosotan ekonomi yang lebih teruk dan berpanjangan. Kita seru pembuat polisi supaya fokus kepada memberi peluang kepada ekonomi untuk bernafas. Jika tidak, kita hanya boleh menjangkakan bencana ekonomi yang semakin buruk di masa hadapan," katanya.


Idea mencetak wang menjadi perdebatan baru-baru ini selepas Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada 6 November lalu mendapat kritikan pakar-pakar ekonomi sebagai tidak bersungguh-sungguh meransang ekonomi.


Bagaimanapun idea mencetak wang itu sendiri tidak popular dalam kalangan Ahli Parlimen komponen Perikatan Nasional, khususnya Umno yang melihat negara akan menghadapi masalah lebih besar berkaitan kenaikan harga barangan, lebih-lebih lagi jika wang yang dicetak itu diberikan kepada rakyat melalui skim bantuan tunai kerajaan dan diumumkan sehingga berlaku kenaikan harga mendadak.


Dalam ekonomi moden, mencetak wang hanya berjaya dilakukan di Amerika Syarikat kerana matawang dollar negara itu digunakan dalam perdagangan dunia dan sangat bernilai.


Manakala tindakan Zimbabwe mencetak wang kertas pada awal 2000 menyebabkan inflasi melambung kepada 89.7 juta sextillion persen (89,700,000,000,000,000,000,000) pada 2008 sehingga makanan asasi tidak mampu dibeli dengan wang gaji penduduknya.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
10,710
153
5778
Total
916,561
7019
784,949

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
491,381
8,692
392,980
Total
186,407,192
4,028,301
168,805,736

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER