top of page

AMK Perak dukacita insiden jejas keselamatan Sultan Nazrin

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 31
  • 1 min read

ree

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Perak menzahirkan rasa dukacita dan kebimbangan mendalam terhadap insiden yang menjejaskan keselamatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, ketika baginda menghadiri Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri pada Ahad.


Ketua AMK Perak, Ashraf Kahasani (gambar), menegaskan bahawa perbuatan tersebut sama sekali tidak beradab dan boleh mencemarkan kewibawaan institusi diraja yang menjadi tunggak kestabilan dan keharmonian negeri serta negara.


"Sebagai payung negara, Sultan merupakan lambang perpaduan serta pemersatu bangsa yang sentiasa dimuliakan dan dihormati oleh seluruh rakyat.


"Perbuatan yang tidak beradab seperti ini adalah sesuatu yang sama sekali tidak wajar berlaku, malah berpotensi mencemarkan kewibawaan institusi diraja yang menjadi tunggak kestabilan, keharmonian serta kedaulatan negeri dan negara," katanya dalam kenyataan.


Beliau turut menggesa agar pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap individu yang terlibat, selain memperhalusi semula tahap keberkesanan pasukan keselamatan yang ditugaskan menjaga keselamatan Sultan.


"Aspek keberkesanan pasukan keselamatan yang ditugaskan menjaga Tuanku wajar diberikan penelitian sewajarnya agar insiden sebegini tidak berulang," ujarnya.


Ashraf menegaskan AMK Perak berdiri teguh mempertahankan maruah institusi diraja dan menekankan bahawa keselamatan Sultan Nazrin perlu sentiasa dipelihara dengan penuh cermat serta ditangani berlandaskan undang-undang.


Pagi tadi, seorang wanita Melayu tempatan berusia 41 tahun ditahan polis selepas bertindak naik ke pentas utama dan cuba mendekati Sultan Nazrin melalui bahagian tepi pentas sebelum berjaya dihalang oleh anggota keselamatan yang bertugas.


Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin dipetik berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.20 pagi sewaktu lagu kebesaran negeri Perak sedang berkumandang.


Kata beliau, hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah selain rekod rawatan psikiatri dan kini berada di bawah pengawasan pakar.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page