'Tidak perlu bayangkan pentadbiran PN-BN, semak rekod 2020 - 2022'
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 2 min read

Rakyat, khususnya orang Melayu tidak perlu berimaginasi mengenai corak pentadbiran Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) sekiranya gabungan itu kembali menerajui kerajaan kerana rekod pemerintahan mereka sebelum ini sudah boleh dijadikan ukuran.
Ketua Penerangan KEADILAN Melaka, Eddiarman Mohd Yunos berkata, PN dan BN pernah mentadbir Kerajaan Persekutuan selama 33 bulan antara 2020 hingga 2022 lalu, justeru rakyat boleh merujuk prestasi berdasarkan pengalaman tersebut, bukannya mempercayai janji politik terbaharu ahli politik penyatuan Melayu itu.
"Penyokong PN dan BN tidak perlu berangan atau membayangkan bagaimana keadaan negara jika mereka (gabungan itu) kembali memerintah. Hakikat sebenarnya, kita jangan lupa bahawa mereka pernah menjadi kerajaan Persekutuan dari tahun 2020 hingga 2022 yang lalu.
"Justeru, rakyat tidak perlu menilai berdasarkan janji atau retorik semata-mata. Cukuplah melihat kembali rekod pentadbiran mereka sebelum ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, perkembangan politik selepas kemenangan PN-BN di Johor dan Negeri Sembilan hanya memperlihatkan pertambahan jawatan politik, termasuk portfolio Exco dan jawatan Timbalan Exco, yang disifatkannya mengingatkan rakyat kepada corak pentadbiran gabungan itu ketika memerintah di peringkat Persekutuan.

"Apa yang sedang berlaku hari ini bukanlah sesuatu yang baharu. Selepas memperoleh kemenangan di Johor dan Negeri Sembilan, kita sekali lagi menyaksikan pertambahan jawatan politik, termasuk penambahan portfolio Exco serta pewujudan jawatan Timbalan Exco (di Johor dan dicadangkan di Negeri Sembilan).
"Sebenarnya corak ini mengingatkan rakyat kepada pendekatan yang pernah diamalkan ketika PN dan BN mentadbir Putrajaya," katanya.
Eddiarman berkata, ketika pentadbiran PN-BN, kerajaan membentuk antara barisan Kabinet terbesar dalam sejarah negara dengan 32 menteri dan 38 timbalan menteri, selain mewujudkan beberapa jawatan Duta Khas bertaraf menteri yang diberikan kepada pemimpin Pas dan parti komponen lainnya.
Beliau berkata, pendekatan itu berbeza dengan pentadbiran Kerajaan MADANI yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menurutnya memilih saiz Kabinet lebih kecil dan menjimatkan kewangan negara.
"Sebagai perbandingan, pada masa kini, pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih pendekatan yang lebih sederhana dengan jumlah anggota kabinet yang lebih kecil berbanding pentadbiran terdahulu."
Sehubungan itu, beliau berkata rakyat perlu membuat penilaian berdasarkan rekod pentadbiran yang telah ditunjukkan, bukannya dipengaruhi janji atau retorik politik.
"Akhirnya, pilihan terletak di tangan rakyat. Sejarah telah memberi peluang kepada PN dan BN untuk mentadbir negara.
"Maka, rakyat sendiri berhak membuat penilaian berdasarkan rekod pentadbiran mereka, tidak perlu hanyut dengan janji atau imaginasi politik mereka," katanya lagi.
Untuk rekod, penghujung pentadbiran PN-BN pada 2022 lalu adalah terputusnya bekalan makanan asas seperti ayam dan telur yang menjadi sinikal di media sosial.
Namun dengan perkembangan terbaharu, tsunami biru-hijau sebagaimana berlaku mungkin orang Melayu mahu melalui semula derita empat tahun lalu itu.
