Tidak mampu miliki rumah: Kerajaan perlu kawal harga rumah ikut kemampuan rakyat
- Suara Keadilan
- Sep 27, 2022
- 2 min read

Kerajaan BN - PN seharusnya bertindak mengawal harga rumah bersesuaian dengan kemampuan rakyat Malaysia.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, R Yuneswaran berkata ketidakmampuan rakyat memiliki rumah ketika ini sudah mencapai tahap membimbangkan sekiranya kerajaan tidak segera campurtangan.
"Kerajaan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob wajar mengambil langkah-langkah segera untuk membantu rakyat memilikki rumah.
"PM wajib mengambil tanggungjawab penuh dalam mengawal harga melalui dasar-dasar tertentu serta hapuskan dasar-dasar yang tidak pro-rakyat untuk memiliki rumah.
"Skim khas pembelian rumah kepada golongan ekonomi gig, e-hailing, artis, usahawan muda berkerja sendiri dan siswazah berpendapatan rendah juga perlu diberi perhatian
"Pada masa sama Kerajaan Negeri perlu memainkan peranan untuk membuat tapisan keperluan pembinaan projek perumahan dalam negeri masing-masing secara teliti sebelum diluluskan. Jangan hanya lulus projek pembinaan rumah 'tak mampu milik tapi hanya mampu pandang' sahaja," katanya dalam satu kenyataan.
Yunes juga mendedahkan Data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) yang menyatakan sejumlah 35,592 rumah telah siap dibina tetapi tidak terjual (overhang) membabitkan nilai RM22.45 bilion sehingga suku pertama tahun 2022.
Jumlah 20,680 (58.1%) rumah siap dibina dan tidak terjual itu, katanya terdiri daripada kategori kondominium atau apartmen.
"Ini membuktikan Kerajaan gagal meneliti keperluan dan kehendak rakyat serta membina rumah mengikut keperluan golongan B40, M40 ataupun golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
"Keadaan ini menjadi lebih serius apabila kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) terkini pada kadar 2.50% peratus. Rakyat mungkin akan terus berdepan isu kemampuan dan kebimbangan mengenai kemelesetan ekonomi global dan kadar inflasi yang berterusan," ujarnya.
Dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua oleh Bank Negara, menurut Ketua Cabang KEADILAN Tebrau itu, negeri Johor, Perak, Sarawak, Sabah dan Kelantan berada diletakkan pada kategori teratas, iaitu penduduknya benar-benar tidak mampu milik rumah apabila merekodkan 5.1 mata dan ke atas. Bagi peringkat kebangsaan, harga rumah di Malaysia adalah sangat tidak mampu milik apabila mencatatkan 4.7 kali.
Oleh itu, tambah Yuneswaran, pentadbiran PM Ismail Sabri sepatutnya bukan memberi keutamaan memilih tarikh untuk mengadakan Pilihan Raya Umum dalam musim tengkujuh tetapi melakukan campurtangan mengawal harga rumah agar lebih banyak rakyat mampu memilikinya.
"Dasar perumahan negara haruslah menyediakan perumahan yang mencukupi, berkualiti dan dalam kemampuan semua rakyat dari segenap lapisan masyarakat terutama golongan yang berpendapatan rendah.
"Pembangunan dan kemajuan sebenar bukan semata-mata pembangunan infrastruktur tetapi pengubalan dasar-dasar yang membela nasib dan kesejahteraan rakyat," katanya lagi.
Comments