Perikatan Nasional (PN) yang giat berkempen mengutamakan calon anak tempatan untuk dijadikan Ahli Dewan Negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Julai ini dianggap 'cakap tidak serupa bikin' apabila menguar uarkan bakal membawa calon luar bertanding di Selangor sebagai calon utama mereka.
Menurut Timbalan Pengarah Pilihanraya KEADILAN Malaysia, Manivanan Gowind, adakah pemimpin PN terutamanya Menteri Besar (MB) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor lupa calon 'big gun' yang PN akan bawa masuk bertanding bukan anak jati Selangor.
"Kadang kadang Sanusi lupa Khairy Jamaluddin dari mana, Shahidan Kassim dari mana. Sanusi perlu lafazkan benda yang sama. Siapa yang PN akan letak sebagai calon (di Selangor).
"Jangan ada sifat pilih memilih (Selangor lain Kedah lain)," katanya mengulas kritikan Sanusi bahawa MB Selangor bukan anak jati negeri itu dalam satu majlis jamuan Aidilfitri baru baru ini.
Menurut Manivanan lagi, sama ada calon tempatan atau bukan semua parti menghadapi isu sama.
Katanya, di pihak PN juga terdapat calon luar yang mungkin lebih sesuai, dan pihak PN bukan menurunkan semua anak Selangor dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.
"Nak kata PN mempunyai kekuatan dari kawasan atau DUN masing masing (tidak beri ruang calon luar) tengoklah berapa ramai yang dia import dulu (PRU 15).
"Berapa ramai turun jadi calon payung terjun? Berapa ramai yang dah bekerja di kawasan tetapi tidak dapat kerusi kerana diberikan kepada orang lain?
"Berapa ramai tanding DUN juga tanding parlimen? Seolah olah sudah tak ada pemimpin lain
"Sekarang dia ADUN dan juga Ahli Parlimen. Kita nak kepelbagaian, nak sambut kepandaian, kecerdikan sebagai wakil rakyat. Kalau kamu jadi ADUN, Ahli Parlimen, Pesuruhjaya, jadi semuanya buat apa," sinis Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN itu.
Manivanan sebaliknya mencadangkan Sanusi atau mana mana pemimpin PN luar Selangor pada masa hadapan mengkritik secara membina prestasi Kerajaan Negeri sekiranya datang melawat dan berceramah negeri itu.
Katanya, kritikan membina lebih dihargai di Selangor berbanding isu isu remeh mengenai calon anak tempatan sebagai MB atau Exco.
"Sepatutnya Sanusi tegur kekurangan Selangor yang boleh diperbaiki. Kita terima komen begitu. Ia membina. Komen mungkin akan membawa hasil lebih baik kepada rakyat Selangor. Sayang sekali Sanusi tak ada komen yang membina," katanya lagi.
Comentarios