MB Selangor sertai misi kemanusiaan ke Gaza, bukti komitmen Malaysia — AMK
- Redzuan Shamsudin

- 5 hours ago
- 1 min read

Penglibatan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, dalam mengetuai Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia ke Gaza melalui delegasi Global Sumud Flotilla 2.0 disambut baik oleh kepimpinan Angkatan Muda KEADILAN (AMK).
Naib Ketua AMK Malaysia, Nabil Halimi, berkata amanah tersebut mencerminkan kepercayaan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, terhadap komitmen serta kepimpinan Amirudin dalam menangani isu-isu dalam dan luar negara.
Menurut beliau, pendekatan dan visi yang dibawa oleh Amirudin sentiasa mencerminkan nilai keadilan, keamanan sejagat serta kesederhanaan, termasuk dalam isu melibatkan dunia Islam.

"Penyertaan YAB Menteri Besar Selangor menzahirkan bahawa Malaysia bukan sekadar negara yang bersuara dari jauh, tetapi juga negara yang pemimpinnya sanggup berada di barisan hadapan, dalam menyampaikan bantuan serta menunjukkan solidariti tinggi kepada rakyat Gaza," katanya dalam kenyataan media.
Beliau turut menyifatkan Malaysia sebagai antara negara utama yang konsisten menyokong perjuangan Palestin, selain negara seperti Iran dan Turki, termasuk melalui sokongan kepada aktivis pro-Palestin.
Dalam pada itu, Nabil menyeru orang ramai agar mendoakan keselamatan delegasi dan sukarelawan yang terlibat dalam misi berkenaan.
"Marilah kita bersama mendoakan agar pasukan delegasi dan sukarelawan diberikan kesejahteraan dan perlindungan sepanjang misi ini," katanya.
Tambah beliau, misi kemanusiaan melalui laut tersebut yang membawa berpuluh kontena bantuan merangkumi makanan, ubat-ubatan dan keperluan harian diharap akan dapat mendarat di Gaza.
"Saya berharap agar misi kemanusiaan ini, yang membawa 30 kontena bantuan bersamaan kira-kira 374 tan termasuk makanan, ubat-ubatan, dan keperluan harian, selamat sampai ke Gaza dan tembok halangan berjaya dipecahkan, membuka jalan kepada bantuan yang sangat diperlukan oleh rakyat Gaza," katanya.




Comments