Tidak lepas ujian BM, punca warga emas gagal dapat warganegara


Oleh: Abdullah Zaid
Kebanyakan warga emas yang ingin memperoleh kewarganegaraan Malaysia gagal kerana tidak melepasi ujian penguasaan Bahasa Melayu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, ujian penguasaan bahasa Kebangsaan itu adalah syarat wajib untuk menjadi warganegara.
"Di negara luar 'best practices' kita teliti iaitu mereka yang memohon warganegara (harus) boleh berbahasa rasmi negara berkenaan
"(Berbanding Malaysia) markah tak lulus satu (ujian penguasaan Bahasa Melayu), (manakala) markah lulus lapan serta ada ratingnya (standard). Sekarang ini yang dua pun kadang-kadang KDN luluskan. Dua ini boleh ucap 'terima kasih', Itu pun kita luluskan," katanya pada sesi Pertanyaan Jawab Lisan pada persidangan Dewan Rakyat, di sini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (Tanjung Piai-BN) mengenai isu permohonan warganegara golongan warga emas yang tidak diluluskan selain mengambil masa lama untuk diluluskan.
Dalam pada itu, Saifuddin juga menafikan dakwaan lebih sejuta penduduk di Sabah tidak mempunyai dokumen warganegara seperti yang didakwa Lo Su Fui (GRS - Tawau).
Jelasnya, KDN setakat ini hanya membuat keputusan mengenai 10,381 permohonan warganegara dan kebanyakan kes ini membabitkan anak angkat dan anak tidak sah taraf.
"Jika ia dalam pengetahuan (Ahli Parlimen Tawau), kita cari penyelesaian.
"Pertama, dokumen lengkap, iaitu mempunyai sijil pengangkatan (anak angkat), ada sijil kelahiran serta ada permohonan daripada penjaganya.
"Selain itu, ada bukti keberadaan dia yang lengkap yang ini (syarat) tetapi masih ada masalah, beritahu secara spesifik kes itu," ujarnya lagi.




Comments