Pelancong seharusnya masuk lebih banyak ke Malaysia dengan perkhidmatan visa ketibaan (VoA) selepas pandemik Covid 19, namun hal itu tidak berlaku kerana halangan yang berlaku di pihak kementerian yang mengurus hal ehwal kemasukan warga asing pada 2019 lalu.
Hal itu didedahkan oleh mantan Timbalan Menteri Pelancongan era Pakatan Harapan (PH), Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik.
Menurut beliau, VoA yang dicadangkan pada ketika itu tidak diterima dengan alasan keselamatan negara terutama kepada pelancong dari China dan India.
"Dengan menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Tourism Task Force di bawah pemerintahan PH pada ketika itu, dengan sasaran penerimaan 30 juta pelancong dengan pulangan RM30 bilion daripada sektor pelancongan negara, kami bekerjasama dengan beberapa lagi pihak berkepentingan bagi menambah baik sistem pelepasan dan pemprosesan di pintu sempadan negara.
"Di antara cadangan yang kami kemukakan bagi menggalakkan kedatangan pelancong adalah dengan melaksanakan VoA terhadap pelancong dari China dan India ke negara kita sejajar dengan Tahun Melawat Malaysia 2020.
"Namun kami menerima tentangan hebat daripada beberapa individu berpangkat tinggi dari sebuah kementerian terkemuka di atas alasan keselamatan negara yang berkemungkinan terancam jika permohonan melalui satu-satunya syarikat swasta yang
bertanggungjawab mengendali pemporesan visa ketika itu. Di atas penjelasan yang samar kami turuti jua di atas sebab keselamatan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Namun selepas pendedahan di mahkamah selama perbicaraan bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi yang didakwa menerima sumbangan dana dari beberapa syarikat berkaitan urusan kemasukan warga asing maka halangan yang pernah berlaku beberapa tahun lalu itu, kata Bakhtiar, semakin jelas penyebabnya.
"Maka terungkailah persoalan kami apabila kebelakangan ini kita didedahkan dengan berita di mana terdapat siasatan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegah Rasuah 2009 berkaitan beberapa nama besar menerima sejumlah dana daripada syarikat swasta supaya melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan Sistem VLN, serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama.
"Kini saya faham maksud sebenar tentangan yang cukup keras ke atas cadangan yang kami utarakan demi mengukuhkan sektor pelancongan negara.
"Setiap pelancong dari China dikenakan bayaran CNY200 sebagai fi pemprosesan. Bayangkan pendapatan mereka jika 2.9 juta pelancong dari China membayar CNY200 (RM130) setiap seorang.
"Menyedari hakikat ini, ternyata bukan keselamatan negara yang terancam, sebaliknya duit poket merekalah yang dikhuatiri menipis. Amalan menjaga kroni ditutupi dengan alasan keselamatan negara ini amat menjijikkan," katanya.
Oleh kerana melindungi kepentingan kroni tertentu, kata Ahli Parlimen Balik Pulau itu, negara kerugian berjuta juta ringgit daripada segi hasil kerana kekurangan pelancong asing
Tegas beliau, Malaysia seharusnya telah lama mencontohi Indonesia yang berjaya menarik lebih ramai pelancong menggunakan kaedah VoA.
"Pada Mac 2022, dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung antarabangsa, Indonesia memperkenalkan semula VoA ke Bali untuk pelancong dari 23 negara termasuk Malaysia, Amerika Syarikat dan United Kingdom. Malah sepanjang tempoh pandemik, Indonesia aktif mempromosi negara mereka lewat platform digital supaya memilih Indonesia sebagai destinasi pilihan.
"Visa semasa ketibaan atau Visa Sebaik Tiba (VoA) dengan kata mudah adalah kemudahan pendokumentasian pelancongan di mana visa akan diberikan kepada pelancong sebaik sahaja tiba di negara yang dituju. Sesebuah negara terlebih dahulu akan mewartakan arahan kepada bakal pelancong di mana mereka tidak perlu melakukan permohonan visa sebelum perjalanan," katanya lagi.
Tambah Bakhtiar, Malaysia telah mengadakan kemudahan VoA pada 2020 di Lapangan Terbang Antarabangsa Miri dan pintu masuk Sungei Tujuh, terutama bagi pelancong dan golongan ekspatriat yang kini berpangkalan di Brunei.
Jangkaan Tourism Productivity Nexus (TPN) pada ketika itu, katanya, Miri berpotensi menjana AS$4 juta setiap tahun daripada ekspatriat dengan anggapan 10% dari mereka melawat Miri setiap minggu dan membelanjakan AS$200 pada setiap lawatan.
Comments