top of page

PRN mengejut N Sembilan tidak wajar, negara berdepan krisis tenaga global - KANUN

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 1 hour ago
  • 3 min read

Cadangan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) mengejut disifatkan sebagai tidak sesuai pada waktu ini, demikian kata Pengerusi Biro Undang-Undang AMANAH (Kanun), Dr Zulkarnain Lukman (gambar).


Beliau berpandangan, pendekatan yang hanya menilai aspek kalah atau menang adalah tidak mencerminkan kepentingan sebenar rakyat serta kestabilan pentadbiran negeri.


Menurut beliau, cadangan tersebut mengingatkan kepada tindakan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO yang sebelum ini memilih untuk mengadakan PRN di Johor dan Melaka dalam keadaan negara masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan susulan pandemik Covid 19.


"Cadangan ini bukanlah yang baik buat masa sekarang. Asasnya hanya melihat kalah menang semata-mata, tidak ubah seperti cadangan BN UMNO (2021 - 2022) dahulu.


"Memang benar BN menang besar ketika PRN Johor dan Melaka, tetapi kemenangan itu berlaku dalam keadaan peratusan keluar mengundi rendah dan bukan gambaran sebenar sokongan rakyat," katanya dalam kenyataan di media sosial hari ini.


Beliau mengulas pandangan ahli akademik Dr Tajuddin Rasdi yang menyatakan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun wajar menyahut saranan agar membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada PRN mengejut di negeri itu susulan tindakan wakil rakyat BN menarik sokongan kepada beliau.


Zulkarnain menjelaskan, faktor seperti kebimbangan pandemik Covid-19 ketika itu serta pengundi luar kawasan yang tidak pulang mengundi telah menjejaskan kadar keluar mengundi.


"Sebahagian besar pengundi tidak turun mengundi, khususnya pengundi Tionghua. Ramai juga berada di luar kawasan dan tidak teruja untuk keluar mengundi dalam PRN.


"Kita lihat sendiri dalam PRU selepas itu, keputusan berbeza sama sekali, BN tidak lagi dominan seperti dalam PRN. Ini membuktikan PRN bukan indikator sebenar sokongan rakyat," ujarnya.


Beliau turut menegaskan bahawa kadar keluar mengundi dalam PRN lazimnya lebih rendah berbanding Pilihan Raya Umum (PRU).


"Peratusan keluar mengundi PRN hanya sekitar 50 hingga 60 peratus, berbanding PRU yang boleh mencecah sehingga 80 peratus. Ini menjejaskan kualiti keputusan demokrasi," ujarnya.


Dalam masa sama, beliau mempersoalkan keperluan mengadakan PRN ketika negara sedang berdepan cabaran ekonomi dan tenaga.


"Negara kini berada dalam mod krisis tenaga. Keutamaan sepatutnya adalah berjimat cermat, bukan membelanjakan puluhan juta ringgit untuk pilihan raya.


"Kos PRN Johor mencecah RM96 juta, Melaka RM46 juta dan Sabah RM116.8 juta. Itu belum termasuk kos kempen parti. Ini satu pembaziran dalam keadaan ekonomi mencabar."


Zulkarnain turut mengingatkan bahawa pelaksanaan PRN akan mengganggu fokus pentadbiran kerajaan.


"Apabila PRN diadakan, semua tumpuan akan terarah ke sana. Menteri, pegawai kerajaan, semua akan sibuk berkempen.


"Mesyuarat penting berkaitan ekonomi dan krisis tenaga akan tertangguh. Ini boleh menjejaskan aktiviti ekonomi bernilai berbilion ringgit," tambahnya.


Dari sudut perlembagaan dan institusi pula, beliau menegaskan beberapa isu masih belum diselesaikan sepenuhnya di peringkat negeri.


Katanya, tidak wajar setelah menghabiskan biaya kewangan yang besar parti yang menang kemudiannya menggunakan saluran mahkamah untuk membentuk kerajaan kerana hal berkaitan Yang di-Pertuan Besar belum diselesaikan.


"Isu melibatkan Undang Luak dan Yang di-Pertuan Besar masih belum dimuktamadkan. Perkara ini perlu diselesaikan terlebih dahulu oleh Dewan Keadilan dan Undang.


"Jika tidak, Kerajaan negeri mungkin terpaksa mendapatkan keputusan Mahkamah Persekutuan. Bayangkan jika berlaku pertikaian keabsahan angkat sumpah Menteri Besar baharu, ini akan memberi kesan besar kepada kestabilan negeri," jelas beliau.


Beliau juga mengingatkan tentang implikasi politik di peringkat Persekutuan sekiranya PRN diadakan dalam suasana kerjasama Kerajaan Perpaduan yang tidak menentu andainya parti parti kerajaan bergerak secara solo dalam PRN itu.


"Adakah kita sanggup melihat menteri-menteri Persekutuan berkempen dalam kem berbeza dan saling menyerang?


"Malam berkempen mencemuh, pagi esok duduk semeja dalam kabinet. Ini akan melemahkan kerajaan Pusat dan memberi kelebihan kepada pihak lawan," kata beliau lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page