top of page

NGO PROFANS serah memorandum pertahan Yang di-Pertuan Besar, Adat Pepatih

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 1 hour ago
  • 2 min read
Sekumpulan wakil NGO tempatan Negeri Sembilan berhimpun menyokong Yang di-Pertuan Besar di luar Istana Hinggap, Seremban, hari ini
Sekumpulan wakil NGO tempatan Negeri Sembilan berhimpun menyokong Yang di-Pertuan Besar di luar Istana Hinggap, Seremban, hari ini

Pertubuhan Otai Reformasi Negeri Sembilan (PROFANS) hari ini menyerahkan memorandum menjunjung taat setia dan mempertahankan institusi Yang Dipertuan Besar serta Adat Perpatih Negeri Sembilan.


Presiden PROFANS, Muhamad Kamel Yassin berkata, pihaknya mempersembahkan keazaman mempertahan prinsip adat ‘nan dianjak layu, dicabut mati, kok dikikis berhabis besi, kok dibasuh berhabis air’ yang telah menjadi tulang belakang pembentukan identiti di negeri berkenaan.


Beliau berkata prinsip itu selaras dengan perbilangan Alam beraja, Luak berpenghulu, Suku berlembaga dan Anak buah berbuapak.


"Patik-patik sekelian pacal didik seluruh anak-anak buah dan rakyat yang hidup dalam lingkungan negeri ini menjunjung kesetiaan kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai pucuk pemerintahan untuk terus melangsungkan pentadbiran menurut pedoman ‘Syarak nan Qawiy, adat nan lazim, syarak mengata, adat memakai’.


Presiden PROFANS, Muhamad Kamel bersama Setiausaha Agung PKORM, ShaifulAnuar (berbaju hitam)
Presiden PROFANS, Muhamad Kamel bersama Setiausaha Agung PKORM, ShaifulAnuar (berbaju hitam)

"Menegakkan keadilan dan kebenaran seperti perbilangan ‘Anak buah beraja kepada Buapak, Buapak beraja ke Lembaga, Lembaga beraja ke Penghulu, Penghulu beraja ke Yamtuan, Yamtuan beraja ke nan benar dan kebenaran berdiri sendiri," katanya yang memetik intipati memorandum tersebut.


Beliau ditemui pemberita selepas menyerahkan memorandum itu di Istana Hinggap, Seremban hari ini.


Menurut Muhamad Kamel lagi, Adat Perpatih bukanlah ‘ceremonial’, sebaliknya ia adalah kanun uruf yang lahir daripada perenungan mendalam terhadap alam.


Katanya, ia berperanan mengatur lalu lintas perhubungan sejak alam fikiran kepada alam perbuatan dan pasak yang menahan ranah, tali yang merentang muafakat serta payung yang menaungi rakyat.


Kamel menyerahkan memorandum sokongan kepada wakil Yang di-Pertuan Besar N Sembilan
Kamel menyerahkan memorandum sokongan kepada wakil Yang di-Pertuan Besar N Sembilan

"Maka, dengan penuh kesedaran dan tanggungjawab , patik-patik sekelian pacal didik merafak sembah ikrar taat setia tanpa sempadan dengan menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz sebagai penaung tertinggi adat dan agama di Negeri Sembilan.


"Patik-patik sekelian pacal didik kekal berdiri di belakang Tuanku sebagai rakyat yang patuh dan setia serta menjunjung tinggi konsep kepersekutuanan Negeri Sembilan dan keindukan Yang Dipertuan Besar sebagai pemerintah tertinggi.


"Tuanku adalah berperanan mempersekutukan negeri ini sebagai sebuah negeri berdaulat. Tuanku adalah yang dituakan, didahulukan selangkah, ditinggikan seranting, menjadi paksi kepada kestabilan dan kemuliaan negeri ini.


"’Sukat nan tidak berubah, timbang nan tidak teralih’. Patik-patik sekelian pacal didik memohon ke bawah duli Tuanku agar terus menjadi nakhoda yang memandu bahtera Negeri Sembilan di tengah arus permodenan yang deras.


"Patik-patik sekelian pacal didik, anak-anak Negeri Sembilan akan sentiasa berdiri teguh di sisi Tuanku, memelihara adat agar tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas," katanya.


Kebelakangan ini, percaturan politik di negeri berkenaan bergelora apabila 14 ADUN UMNO-BN Negeri Sembilan sebulat suara menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun susulan kemelut pemerintahan yang berlaku pada Isnin.


Namun, Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri berkata, beliau dititahkan oleh Tuanku Muhriz agar meneruskan tanggungjawab mentadbir negeri itu.


Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan akan menyelesaikan kemelut politik di Negeri Sembilan menerusi saluran politik.


Ahmad Zahid berkata, amat penting ketika ini adalah mencari penyelesaian terbaik bagi menentukan kerajaan yang kukuh di Negeri Sembilan supaya dapat terus melayani dan mendepani permasalahan rakyat.


"Saya harap kita ikuti Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan juga peraturan Dewan Undangan Negeri (DUN) khususnya di Negeri Sembilan," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page