
Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak akan berkompromi dalam soal integriti meskipun berisiko kepada kedudukannya.
Hal itu ditegaskannya dalam ucapan di majlis sesi dialog dan makan malam bersama diaspora Malaysia di Indonesia bertempat di Kedutaan Malaysia di Jakarta malam tadi.
"Saya tegaskan Malaysia mesti bebas dari gejala ketamakan elit penguasa dan para petinggi politik dalam memunggah dan menggondol kekayaan dan khazanah negara demi tembolok sendiri.
"Saya tidak akan berkompromi dalam soal ini meski ia mungkin akan merisikokan kedudukan saya.
Kita sudah lelah dengan watak-watak yang menjerit perjuangkan Islam tetapi mengkhianati tanggungjawab yang diamanahkan dan menggunakan kuasa untuk merampas hak yang bukan milik mereka," katanya di hadapan ratusan golongan profesional Malaysia yang bekerja di Indonesia.

Anwar juga tidak lupa memberitahu akan menegakkan perjuangan beliau membela kelompok miskintidak mengira bangsa atau agama sambil berusaha memperteguh hak serta keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.
Beliau turut berjanji akan menumpukan kepada usaha pembangunan ekonomi serta pengagihan kekayaan kepada semua. Namun usaha itu katanya akan sukar sekiranya rasuah terus menghantui koridor kuasa.
Selain itu, Perdana Menteri berkata suatu perbincangan khas dalam kalangan Jemaah Menteri akan diadakan bagi menentukan dan mendengar input mereka selepas sebulan berkhidmat.
"Kita akan membuat pengumuman mengenai prestasi serta KPI dan mengemukakan sasaran selanjutnya daripada setiap Menteri," katanya lagi.