top of page

Tidak kompromi gangguan keselamatan lawatan pemimpin asing – Fahmi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 8 hours ago
  • 2 min read


Oleh: Helmi Foad


Kerajaan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mencetuskan gangguan keselamatan khususnya ketika negara menerima lawatan rasmi pemimpin asing ke Malaysia.


Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil (gambar) berkata pendirian tegas itu diputuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.


"Perdana Menteri telah membuat keputusan yang jelas bahawa kerajaan tidak akan mengizinkan mana-mana pihak mencetuskan sebarang bentuk gangguan keselamatan terutamanya ketika negara akan menerima tetamu dalam masa terdekat," katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.


Fahmi yang merupakan Menteri Komunikasi berkata langkah tegas akan diambil bagi memastikan keselamatan awam serta keselamatan tetamu negara sentiasa terpelihara sepanjang tempoh lawatan rasmi berkenaan.


"Langkah-langkah perlu akan diambil untuk memastikan keselamatan awam dan keselamatan tetamu negara sentiasa terjamin," katanya lagi.


Walaupun Fahmi tidak menamakan pemimpin asing yang bakal mengadakan lawatan rasmi, kenyataan itu dipercayai merujuk kepada lawatan rasmi Perdana Menteri India, Narendra Modi yang dijadual memulakan lawatan dua hari ke Malaysia bermula esok.


Lawatan tersebut bertujuan memperkukuh hubungan dua hala strategik Malaysia-India yang terus berkembang, khususnya dalam bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan serta hubungan rakyat dengan rakyat.


Ia merupakan lawatan kali ketiga Modi ke Malaysia sekali gus mencerminkan kepentingan hubungan kedua-dua negara di peringkat kepimpinan tertinggi.


Kenyataan kerajaan itu dibuat susulan laporan mengenai perancangan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan himpunan bantahan berkaitan isu pembinaan rumah ibadat bukan Islam yang didakwa dibina secara tidak sah yang berpotensi menimbulkan ketegangan serta gangguan ketenteraman awam.


Mengulas lanjut, Fahmi menegaskan bahawa isu keselamatan awam adalah keutamaan kerajaan dan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan ketenteraman serta imej negara akan ditangani mengikut undang-undang.


"Soal keselamatan adalah tanggungjawab bersama dan kerajaan akan memastikan ia tidak dikompromi," katanya.


Beliau turut memaklumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung langkah keselamatan dan penguatkuasaan yang akan diambil.


"Untuk maklumat lanjut, boleh rujuk kepada Menteri Dalam Negeri atau pihak Bukit Aman," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page