Tidak halang perkahwinan bawah umur, KEADILAN bantah sikap menteri pembangunan wanita



Pendirian Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Rina Harun bahawa Kerajaan tidak mempunyai sebarang rancangan bagi mengharamkan perkahwinan bawah umur dan hanya ‘mengurus’ isu tersebut melalui pendidikan, advokasi, pengukuhan institusi keluarga serta sokongan sosioekonomi dalam masyarakat ditentang oleh pemimpin wanita KEADILAN.


Menurut mereka, KPWKM tidak wajar bersikap bertentangan dengan usaha serta langkah yang telah diambil oleh mantan Menteri Wanita dan pentadbiran dua kerajaan terdahulu.


"Pelan Strategik Kebangsaan yang dimulakan oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail merupakan gandingan kepada tindakan konkrit pindaan undang-undang bagi menangani masalah perkahwinan bawah umur. Pelan tersebut mengandungi program tindakan membabitkan 61 agensi peringkat Kerajaan Persekutuan dan negeri.


"Blueprint strategik yang telah diwujudkan meliputi undang-undang keluarga Islam, termasuk hukum syarak, perkahwinan dan adat negeri, yang terletak di bawah bidang kuasa negeri dalam jadual Kesembilan, Bahagian Dua - Senarai Negeri, Perlembagaan Persekutuan menerusi draf pindaan Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 (Akta 303), yang bertujuan menetapkan umur minimum perkahwinan bagi wanita kepada 18 tahun.


"Pendirian Menteri Datuk Seri Rina Harun menggagalkan usaha sebelumnya, lebih lebih lagi di kala pandemik yang memangsakan lebih ramai anak gadis daripada keluarga kurang berkemampuan yang paling berisiko terjerumus dalam perkahwinan kanak-kanak," kata Ahli Parlimen KEADILAN dalam satu kenyataan.


Menurut mereka lagi, statistik 2020 telah menunjukkan seramai 445 pelajar sekolah dikesan tidak menamatkan sesi persekolahan untuk berkahwin dan melibatkan 411 pelajar perempuan serta 34 orang pelajar lelaki.


Oleh itu, kata pimpinan KEADILAN, sewajibnya Menteri meneruskan usaha sebelumnya dan berunding dengan tujuh negeri yang tidak bersetuju untuk meminda perundangan berkaitan iaitu Sarawak, Pahang, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan, Kedah dan Kelantan.


"Negeri Selangor telah bertindak meminda enakmen mereka manakala lima negeri lain telah menyatakan persetujuan untuk meminda perundangan, termasuk Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah, Johor, Melaka dan Perak.


"Kami menggesa Menteri Wanita agar kembali kepada langkah konkrit seiring dengan tanggungjawab serta amanah untuk melindungi wanita, kanak-kanak dan masyarakat rentan.


"Usaha melindungi dan membendung eksploitasi kanak-kanak perlu dimulakan dengan reformasi perundangan yang sudah pun bermula di dua negeri. Jangan berdolak dalih dan menggagalkan usaha lampau itu," kata mereka lagi.


Kenyataan bersama tersebut dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh, Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah, Ahli Parlimen Sekijang Natrah Ismail, Ahli Parlimen Merbok Nurin Aina Surip, Ahli Parlimen Tangga Batu Rusnah Aluai, Ahli Parlimen Hulu Selangor June Leow Hsiao Hui dan Ahli Dewan Negara Senator Fadhlina Sidek.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER