top of page

Tidak cukup minta maaf kepada Fadhlina, fitnah MP Jasin libat ramai orang

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • Apr 21
  • 1 min read

Tindakan Ahli Parlimen (MP) Jasin memohon maaf daripada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek semata-mata adalah tidak mencukupi memandangkan kata-kata fitnahnya turut menjejaskan sebahagian besar masyarakat di negara ini.


Bekas Ahli Dewan Negeri Meru, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mokhtar (gambar) berkata Zulkifli Ismail juga perlu meminta maaf kepada seluruh pihak yang mempercayai fitnah tersebut.


"Kerana fitnah beliau ribuan manusia maki hamun Menteri Pendidikan dan fitnah berpanjangan.


"Tak cukup MP Jasin minta maaf hanya kepada Menteri Pendidikan tetapi kena minta maaf dengan seluruh manusia yang sama sama terlibat dan percaya fitnah beliau," katanya dalam hantaran di media sosial.


Semalam media tempatan melaporkan Ahli Parlimen Jasin dan organ rasmi Pas, Harakah mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada Fadhlina di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung kenyataan fitnah terhadap beliau yang dikeluarkan pada 2023.


Fadhlina memfailkan saman fitnah itu terhadap Zulkifli; bekas ketua pengarang Harakah, Mazlan Jusoh; dan penerbit akhbar Harakah, Galeri Media Serbanika Sdn Bhd berhubung dakwaan larangan takbir dan bacaan Qunut Nazilah sempena Minggu Solidariti Palestin.


Zulkifli yang membacakan penghakiman persetujuan bersama berkata pihak defendan mengakui kenyataan yang dikeluarkan tersebut telah mengundang pelbagai tafsiran dan salah faham dalam kalangan masyarakat terhadap plaintif yang menjejaskan nama baik beliau.


Beliau berkata hakikatnya pihak sekolah dibenarkan untuk membuat laungan takbir dan membaca Qunut Nazilah ketika Minggu Solidariti Palestin.


"Maka, kami memohon maaf kepada YB Fadhlina di atas kenyataan-kenyataan tersebut," ujarnya.


Hakim Hilmiah Yusof kemudian memerintahkan ketiga-tiga defendan membayar kos berjumlah RM15,000 kepada plaintif.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page