Tidak berperlembagaan: Kaji semula Seksyen 233 selepas keputusan Mahkamah Rayuan
- Suara Keadilan
- 5 hours ago
- 1 min read

Ahli Parlimen Bangi merangkap Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan (gambar), menggesa kerajaan meneliti semula Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia susulan keputusan penting Mahkamah Rayuan semalam.
Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa perkataan “jelik” dan “menyakitkan hati” dalam seksyen berkenaan adalah tidak berperlembagaan, kerana bercanggah dengan kebebasan bersuara yang dijamin Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
"Dalam erti kata lain, keputusan ini secara natijahnya memutuskan bahawa kesalahan menghantar komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain adalah tidak berperlembagaan," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menyifatkan keputusan tersebut sebagai suatu kejayaan besar hasil perjuangan panjang aktivis dan peguam hak asasi manusia yang sebelum ini menegaskan bahawa seksyen tersebut terlalu luas dan berpotensi disalahgunakan.
"Kita pernah menyaksikan bagaimana kesalahan di bawah Seksyen 233 ini dijadikan alat untuk membungkam suara rakyat. Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini mengesahkan kelemahan yang ada dalam Seksyen tersebut," ujarnya.
Menurut Syahredzan, pindaan yang dibawa oleh Kerajaan MADANI pada tahun lalu yang kini berkuat kuasa – termasuk penukaran frasa “jelik” kepada “jelik melampau sifatnya” serta penambahan huraian panduan – membuktikan komitmen kerajaan untuk menambah baik undang-undang tersebut.
Namun, beliau menegaskan sudah tiba masanya kerajaan menilai semula keseluruhan peruntukan berkenaan.
"Ada baiknya sekiranya pihak Kerajaan melihat semula keperluan Seksyen tersebut, termasuk mengeluarkan terus elemen jelik dan menyakitkan hati, selepas keputusan ‘landmark’ Mahkamah Rayuan ini.
"Pertimbangan ini wajar dibuat selepas mendapat maklumbalas daripada Pejabat Peguam Negara," tegas beliau.
Syahredzan turut menyeru Pejabat Peguam Negara meneliti semula semua pendakwaan yang masih berjalan di bawah Seksyen 233 sebelum pindaan dibuat, bagi memastikan keputusan Mahkamah Rayuan ini diterjemah secara adil dalam sistem perundangan.