Tidak berdendam, Anwar lulus peruntukan Mahathir ke forum Jepun
- Suara Keadilan
- 2 days ago
- 1 min read

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempamerkan sikap profesional dan terbuka apabila meluluskan peruntukan sebanyak RM486,000 bagi membiayai penyertaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Forum Antarabangsa Nikkei ke-30 di Tokyo, Jepun bulan lalu.
Menurut Anwar, meskipun menerima serangan politik yang tidak putus oleh Dr Mahathir, beliau tetap mempertimbangkan permohonan yang dikemukakan secara objektif sebagai ketua kerajaan.
"Beliau ada hak untuk memohon, tapi kelulusan itu tetap memerlukan pertimbangan Perdana Menteri.
"Saya meluluskan RM486,000… daripada sembilan orang dalam delegasi, saya luluskan tujuh orang," katanya dalam dalam satu sidang media.
Anwar sebelumnya hadir merasmikan Seminar Pemantapan Organisasi dan Pertemuan Bersama Presiden KEADILAN di sebuah hotel di Ayer Keroh, pada Khamis.
Pada sidang media itu, Anwar sekali lagi menegaskan pendiriannya untuk tidak mahu mengambil pendekatan bermotifkan dendam peribadi, sebaliknya mahu mempamerkan prinsip keterbukaan dan tadbir urus yang matang dalam mentadbir negara.
"Saya tidak mahu ambil sikap negatif. Walaupun hari-hari serang kita," katanya, dipetik.
Dr Mahathir pada akhir bulan lalu telah menyertai Forum Antarabangsa Nikkei ke-30 di Tokyo, Jepun yang berlangsung dari 29 hingga 30 Mei lalu.
Bekas pemimpin yang menginjak usia 100 tahun itu membayangkan acara tahunan itu mungkin merupakan penyertaan terakhirnya.
コメント