top of page

Tidak benar JPN belakangi perintah mahkamah, persulit mohon MyKad

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jan 13
  • 2 min read

Oleh: Akmal Manaf


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar) hari ini tampil menjelaskan isu melibatkan seorang kanak-kanak berumur 17 tahun berhubung permohonan mendapatkan kad pengenalan (MyKad) melalui perintah mahkamah.


Menurut Saifuddin, dakwaan kononnya pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak menghormati perintah mahkamah dan mempersulit permohonan status kewarganegaraan pemohon sebagaimana ditimbulkan oleh seorang peguam semalam adalah tidak benar.


Sebaliknya, kata beliau, JPN menjalankan tugas mengikut prosedur biasa yang diperlukan untuk mengeluarkan MyKad.


"Kenyataan yang dibuat oleh peguam itu memberi gambaran yang tidak tepat, seolah-olah JPN sengaja melengahkan proses dan mempersulitkan pelaksanaan keputusan mahkamah.


"Apa yang tidak disebut oleh peguam tersebut ialah, pertama, kes ini memang berada dalam makluman JPN. Kes ini bermula apabila ibu bapa kepada anak ini hadir ke JPN untuk membuat MyKad.


"Melalui penampilan fizikal, didapati anak ini dan ibu bapanya langsung tidak seiras. Siasatan mendapati ibu bapa mengakui bahawa maklumat kelahiran anak ini diperoleh daripada sebuah hospital swasta yang berada dalam senarai hitam JPN kerana terlibat dalam sindiket mengeluarkan maklumat kelahiran secara tidak sah.


"Ibu bapa mengetahui bahawa sijil kelahiran anak ini diperoleh secara tidak sah ketika bayi. Apabila anak ini meningkat usia, perbezaan tersebut menjadi ketara. Pengakuan ini tidak disebut oleh peguam berkenaan.


"Apabila peguam menyatakan bahawa mahkamah telah memutuskan anak ini perlu diberikan kewarganegaraan, kami tiada masalah dengan keputusan tersebut. Perlembagaan Persekutuan, Perkara 14(1)(i), memperuntukkan bahawa bayi yang tidak diketahui asal kelahirannya boleh dianggap sebagai warganegara," katanya dalam sidang media di Program Back To School, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, pagi tadi..


Jelas Saifuddin, apabila keputusan mahkamah dibuat pada 8 Disember tahun lalu, JPN diberikan tempoh selama satu bulan untuk melaksanakan keputusan tersebut.


Katanya, oleh kerana sijil kelahiran tidak sah maka proses bermula dengan langkah pengeluaran sijil kelahiran yang sah.


"Sijil kelahiran asal diperoleh secara tidak sah melalui sindiket, maka ia perlu digantikan dengan sijil kelahiran yang sah melalui pendaftaran lewat, memandangkan umur anak ini 17 tahun, selaras dengan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian.


"Untuk mendapatkan sijil kelahiran, hanya perlu mengisi borang. Proses ini telah dilalui oleh ramai rakyat Malaysia tanpa sebarang masalah.


"Dakwaan bahawa JPN mempersulitkan proses kerana minta pengesahan wakil rakyat atau pegawai kerajaan adalah tidak benar. Pengesahan boleh dibuat oleh wakil rakyat, pegawai kerajaan atau mana-mana pihak yang berkenaan. Ini bukan syarat baharu atau pelik.


"Gambaran bahawa untuk mendapatkan kewarganegaraan perlu sokongan wakil rakyat juga adalah tidak tepat dan tidak adil. Saya ingin tegaskan, pertama, JPN akan tetap melaksanakan sepenuhnya perintah mahkamah untuk memastikan anak ini memperoleh kewarganegaraan. Tiada isu dalam perkara ini.


"Kedua, JPN akan memulakan proses dengan mengeluarkan sijil kelahiran secara sah melalui pendaftaran lewat. Setelah sijil kelahiran diperoleh, MyKad akan dikeluarkan seperti biasa. Perkara ini tidak sepatutnya menjadi isu," ujarnya lagi.


Tambah Saifuddin lagi, sejak beliau memimpin Kementerian Dalam Negeri (KDN), jumlah kes kewarganegaraan yang tertunggak telah berkurang daripada 50,000 kepada kurang daripada 4,000 dalam tempoh tiga tahun.


Semalam sekumpulan peguam dari Lawyers for Liberty yang mewakili seorang remaja berusia 17 tahun mendesak Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan JPN segera mematuhi perintah mahkamah untuk memproses permohonan MyKad anak guam mereka.


Dakwa peguam, JPN menyuruh anak guam mereka dan ibunya melengkapkan pelbagai borang yang tidak diperlukan oleh perintah mahkamah.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page