Tidak ambil tindakan demonstrasi mahasiswa bukti PM pertahan hak bersuara
- Suara Keadilan

- Jun 27
- 2 min read

Tindakan Perdana Menteri Datuk (PM) Seri Anwar Ibrahim yang menolak sebarang tindakan buang universiti dikenakan ke atas para mahasiswa dalam demonstrasi di Sabah yang membakar karikatur beliau, membukikan PM mempertahankan kebebasan bersuara.
Menurut ADUN Semambu, Pahang, Chan Chun Kuang (gambar), keputusan PM ke atas demonstran 'terlajak' dalam Himpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0 itu juga mengingatkan rakyat kepada asal-usul perjuangan reformasi yang lahir dari jalanan dan berlandaskan semangat keberanian.
"Tambahan pula, tujuan utama perhimpunan tersebut adalah untuk menyuarakan tentangan terhadap rasuah, satu masalah yang telah lama mencengkam sistem pentadbiran negara dan merugikan rakyat.
"Usaha untuk membanteras rasuah, apatah lagi yang digerakkan oleh anak muda seharusnya disambut dengan sokongan dan ruang dialog, bukan dengan siasatan, pendakwaan atau tindakan disiplin.
"Sebagai parti yang lahir daripada gelombang Reformasi dan perjuangan jalanan, parti pemerintah hari ini mempunyai kekuatan, kestabilan dan ruang kebijaksanaan untuk menangani perbezaan pandangan dengan cara yang matang, tanpa mengulangi gaya pemerintahan lama yang menindas suara anak muda melalui tekanan dan intimidasi," katanya dalam kenyataan.
Menurut Chun Kuang, adalah lumrah generasi muda bersikap kritis, melawan arus perdana dan mencabar status quo.
Hal itu tegasnya bukan satu ancaman, malah harus dilihat sebagai isyarat dan cerminan yang sihat bagi pihak berkuasa agar terus berpijak di bumi nyata, bersikap inklusif dan memastikan tidak ada suara yang dipinggir dalam usaha membina negara yang adil, telus dan progresif.
"Kita harus menggalakkan semangat partisipasi anak muda dalam demokrasi, termasuk berani menegur, bertanya dan bersuara kerana hanya dengan cara itu negara ini akan terus matang dan maju.
"Saya berharap institusi pengajian tinggi dan pihak berkuasa dapat menzahirkan semangat ini secara konsisten, mengangkat suara mahasiswa, bukan menekannya," kata beliau lagi.
Selain itu, Chun Kuang juga menyambut baik saranan PM sebelum ini yang mahu Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Hasutan 1948 dikaji semula agar lebih menjamin hak asasi serta kebebasan bersuara rakyat.









Comments