Masalah sekuriti makanan berterusan di Malaysia akibat tiadanya dasar pertanian yang konkrit.
Ahli Parlimen Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH - Kulim Bandar Baharu) berkata, kajian pakar mendapati negara sering mengabaikan dasar pertanian mapan akibatnya Malaysia terpaksa terus mengimport produk makanan dari luar.
"Saya meninjau dapatan kajian dari pakar pertanian dari universiti tempatan tentang isu keselamatan makanan. Kata mereka isu keselamatan makanan di negara kita terus menjadi masalah besar disebabkan 4 perkara.
"Pertama, tidak ada dasar yang konkrit dan komprehensif sejak awal merdeka, kedua dasar pembangunan dibuat tetapi mengabaikan sektor pertanian, ketiga, pelaksanaan dasar yang sentiasa berubah dan tidak strategik. Akibatnya merosot pertumbuhan sektor makanan dalam negara dan meningkatnya kebergantungan kepada makanan import
"Soalannya, saya dengar jawapan Menteri Pertanian mengenai strategi pertanian untuk RMK 12. Ada empat. Pertama padi, kedua tanaman sayuran dan buah, ketiga ternakan dan keempat perikanan.
"Apakah boleh beri penjelasan lanjut kepada dewan dengan pembentangan dasar dan fokus pelaksanaan 4 perkara tadi. Bolehkah benar-benar menjawab isu keselamatan makanan.
"Saya beri contoh, import makanan terus meningkat saban tahun, apa jaminan dasar dibuat benar-benar boleh meredakan isu ini," katanya dalam perbahasan Dewan Rakyat, sesi pagi.
Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Hamzah menjawab kerajaan berupaya membekalkan makanan secukupnya, malah pada waktu pandemik Covid 19 sekalipun.
Kerajaan juga, katanya, sedar kebergantungan kepada hasil produk makanan import dan sedang menyusun strategi,
Antara strategi yang disusun ialah meningkatkan pengeluaran beras negara kepada 75% berbanding 70% pada waktu ini.
Comments