Tiada wakil Sidang ILC: CUEPACS tegur Jawatankuasa Bersama Khas
- Suara Keadilan
- Jun 9
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menempelak tindakan pihak tertentu yang menyalahgunakan nama Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) tanpa mandat sah sekali gus menggesa Jawatankuasa Bersama Khas (JBK) segera menghentikan segala usaha yang boleh mencetuskan ketegangan antara kerajaan, majikan dan pekerja.
Setiausaha Agung CUEPACS, Abdul Rahman Mohd Nordin berkata, sebagai perwakilan terbesar dalam MTUC, pihaknya memandang serius kegagalan JBK menjalankan pemilihan dalam tempoh ditetapkan.
Katanya, kegagalan tersebut menyebabkan tiada wakil pekerja ke Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) di Geneva, Switzerland buat pertama kali dalam sejarah negara.
"Kekacauan ini bukan sahaja menjejaskan reputasi negara, malah memberi kesan langsung kepada keberadaan CUEPACS di ILC.
"Oleh kerana urusan tiket dan penginapan telah dibuat lebih awal, pembatalan kehadiran tidak dapat dilakukan pada saat akhir di mana segala kos dibiayai oleh Kesatuan Gabungan CUEPACS masing-masing dan CUEPACS.
"Sebagai langkah ke hadapan, CUEPACS mencadangkan agar kesatuan seperti kami diberikan ruang untuk mendaftar terus dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bagi memastikan insiden memalukan sebegini tidak berulang," katanya menerusi kenyataan.
Abdul Rahman berkata, isu berkenaan dibangkitkan ketika pertemuan rasmi CUEPACS bersama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong di Zurich, Switzerland.
Beliau menjelaskan, pertemuan yang diketuainya itu turut dihadiri oleh 16 orang delegasi CUEPACS bagi membincangkan secara langsung isu ketidakhadiran wakil pekerja ke ILC.
Dalam pertemuan itu katanya, CUEPACS telah memberikan penjelasan mengenai situasi sebenar dan menegaskan bahawa mandat JBK adalah untuk mengadakan pemilihan semula kepimpinan MTUC seperti yang diarahkan oleh Mahkamah Rayuan, bukannya mewakili MTUC secara rasmi atau membuat kenyataan yang mengelirukan di pentas antarabangsa.
Comments