Tiada wakil PN Sarawak, serahan memorandum gagal dilaksanakan
- Suara Keadilan

- Jul 27
- 2 min read

Serahan memorandum daripada Sekretariat Bela Pertiwi (SBP), gabungan lebih 50 pertubuhan bukan kerajaan dari seluruh negara kepada Perikatan Nasional Sarawak semalam gagal dilakukan berikutan tiada wakil PN yang hadir untuk menerimanya.
Menurut Pengarah Program Serahan Memorandum Negeri Sarawak, Abun Sui Anyit, penyerahan pada 26 Julai di Kuching itu tidak dapat diteruskan apabila pejabat Bersatu Sarawak didapati tutup petang semalam dan tidak diketahui sama ada PN Sarawak mempunyai bangunan pejabat.
"Usaha tersebut gagal apabila tiada wakil daripada PN hadir untuk menerima memorandum walaupun pemakluman telah dibuat lebih awal kepada pihak mereka.
"Pejabat Bersatu didapati ditutup, manakala Pejabat PN pula tidak diketahui kewujudannya di Sarawak, menurut maklumat yang diterima," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Sarawak itu lagi, tujuan serangan memorandum adalah bagi menjawab serta memperbetulkan dakwaan tidak berasas oleh pembangkang terhadap Kerajaan MADANI yang mengelirukan rakyat dan mencetuskan ketidakstabilan politik.
Memorandum juga, kata beliau, menyuarakan penolakan rakyat terhadap politik berasaskan fitnah, adu domba dan budaya perpecahan. Juga bagi Menyatakan sokongan terhadap komitmen Kerajaan MADANI dalam meneruskan agenda pembangunan secara inklusif, progresif dan berlandaskan keadilan sosial untuk seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.
"Kegagalan pihak PN hadir menerima memorandum ini amat dikesali dan menggambarkan sikap tidak terbuka serta ketidakmatangan dalam mendengar suara rakyat.
"Walaupun memorandum tidak dapat diserahkan secara fizikal, program ini tetap diteruskan sebagai simbolik penyampaian mesej rakyat kepada pihak pembangkang di Sarawak.
"Memorandum ini akan dihantar melalui saluran lain, termasuk emel rasmi Bersatu Sarawak sebagai langkah susulan," katanya.
Abun dalam pada itu kecewa dengan sikap membisu dan menyepi pihak pembangkang terhadap suara rakyat biarpun di Semenanjung PN amat galak menyeru rakyat turun berhimpun.









Comments