Tiada wakil India dalam Exco N Sembilan, gagal cermin masyarakat majmuk
- Sidiqin Omar

- 1 hour ago
- 2 min read

Ketiadaan wakil masyarakat India dalam barisan Exco Kerajaan Negeri Sembilan yang baharu memperlihatkan kegagalan mencerminkan masyarakat majmuk di Negeri Sembilan.
Senator Jufitri Joha berkata, pembentukan barisan Exco seharusnya mengambil kira komposisi masyarakat berbilang kaum, sebagaimana yang ditunjukkan oleh Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan sebelum ini apabila terdapat wakil Melayu, India dan Cina dalam pentadbiran negeri.
"Formulasi pembentukan Exco ini tidak mewakili pelbagai kaum. Sebelum ini kita lihat PH, komposisinya sangat menarik dan ada Melayu, India dan Cina.
"Pada masa depan kita juga mengharapkan masyarakat Orang Asli diberikan perwakilan. PH dikenali sebagai satu parti yang meraikan kepelbagaian," katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Meraikan Jentera PRN N26 Chembong, malam tadi.
Menurut Jufitri, keadaan itu lebih menjadi persoalan apabila masyarakat India sebelum ini dilaporkan memberikan sedikit perubahan sokongan kepada Barisan Nasional (BN), namun akhirnya tidak mendapat perwakilan dalam barisan Exco.
Katanya, walaupun Menteri Besar menyatakan wakil masyarakat India akan diberikan peranan di Pejabat Menteri Besar, kedudukan itu tidak sama dengan mempunyai wakil dalam barisan Exco.
"Walaupun Menteri Besar menyebut mereka akan melantik wakil dalam Pejabat Menteri Besar, ia tidak sama dengan melantik mereka sebagai Exco.
"Mungkin ini antara perkara yang kita lihat dan kita minta rakyat berfikir semula bahawa formulasi Kerajaan Perpaduan sebenarnya sudah cukup baik pada sesi yang lalu," katanya.
Jufitri turut menegaskan bahawa gabungan yang mengangkat agenda Melayu-Islam perlu membuktikan keupayaannya untuk mewakili keseluruhan masyarakat, termasuk kaum dan agama lain.

Katanya, kekuatan sesebuah kerajaan bukan sekadar bergantung kepada identiti majoriti, sebaliknya turut diukur berdasarkan sejauh mana semua kelompok masyarakat merasakan mereka mempunyai tempat dalam pentadbiran.
Mengulas pentadbiran Kerajaan Harapan dan Perpaduan sepanjang 2018-2026, beliau mengakui harapan dan tuntutan rakyat terhadap kerajaan semakin tinggi, termasuk masyarakat India yang mahukan isu berkaitan komuniti mereka diselesaikan.
Katanya sebagai contoh, Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat perlu diberikan tempoh yang munasabah untuk melaksanakan penyelesaian kerana banyak masalah tidak dapat diselesaikan dalam tempoh singkat.
"Siapa pun pemerintah sebenarnya terpaksa berhadapan dengan expectation yang sangat tinggi daripada pengundi. Cuma bagaimana kita boleh selesaikan isu-isu perpaduan dalaman untuk fokus menyelesaikan masalah rakyat.
"Kita tidak mahu memberikan alasan, tetapi kita juga perlu menjelaskan kepada rakyat bahawa Datuk Seri Anwar berhadapan dengan empat kali percubaan untuk menjatuhkan kerajaan termasuk tiga minggu lalu," katanya.
Jufitri berkata, kerajaan juga berdepan cabaran untuk mengukuhkan ekonomi dan melaksanakan pelbagai dasar dalam keadaan kerajaan campuran, justeru rakyat perlu memahami bahawa proses menyelesaikan masalah memerlukan masa.
Pada masa sama, beliau berpandangan kerajaan perlu memperkemaskan strategi komunikasi bagi memastikan pencapaian pentadbiran dapat difahami masyarakat di peringkat akar umbi.
Katanya, kegagalan menyampaikan naratif kerajaan secara tersusun dan menyeluruh antara kelemahan yang perlu diberikan perhatian.
"Kita kena ambil pengajaran, betulkan pasukan media dan juga strategik komunikasi (stratkom). Memang kena kuat.
"Kerajaan kena melabur untuk mempunyai pasukan yang benar-benar mempunyai kepakaran, inovatif dan strategik untuk memantau naratif serta memastikan rakyat memahami apa yang dilakukan kerajaan," katanya.
Beliau berkata, pendekatan komunikasi yang lebih strategik dan penting bagi menghadapi perkembangan politik akan datang, khususnya menjelang pilihan raya negeri di Melaka dan Sarawak yang disifatkannya semakin hampir.




Comments