top of page

Tiada tempat untuk diskriminasi di negara Malaysia Madani



Malaysia perlu bergerak ke arah kemajuan dalam semua bidang termasuk mewujudkan jalinan sosial yang lebih baik. Hubungan antara kaum pula tidak sepatutnya terdapat unsur unsur diskriminasi selepas 60 tahun merdeka.


Hal itu ditekankan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berucap pada majlis Ulang Tahun Kelahiran ke-133 Dr B.R. Ambedkar Jayanthi dan Konvensyen Antarabangsa Ambedkar ke-5 yang diadakan hari ini di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, Selangor.


Katanya, tiada ruang pandang ke belakang dalam dasar kesaksamaan pada era Kerajaan Madani yang berusaha memberi hak selayaknya terhadap semua bangsa.


"Kita semua mesti berusaha untuk menjadikan Malaysia tempat di mana wacana intelektual boleh berkembang maju, perspektif yang pelbagai dihargai, dan perselisihan didekati dengan beradab," katanya petang tadi.


Anwar merupakan penceramah utama pada acara yang diadakan setiap 14 April memperingati kehidupan negarawan India B.R. Ambedkar.


Negarawan India itu dilahirkan dalam komuniti yang tertindas. Dia membina kerjaya dan kehidupan daripada kosong dan memperjuangkan hak politik serta kebebasan sosial untuk komuniti yang tertindas seluruh India.


Ambedkar naik ke peringkat tertinggi masyarakat India, mengetuai jawatankuasa bertanggungjawab untuk merangka Perlembagaan India di samping merupakan Menteri Undang-undang dan Keadilan yang pertama untuk negara itu.


Untuk kaum India Malaysia pula, kata Anwar, pentadbdirannya akan berusaha memperbaiki ekonomi kaum berkenaan, sebagaimana janji dalam manifesto pilihanraya lalu.


"Izinkan saya menggambarkan satu sudut kebimbangan anda, saudara-saudara India saya. Kita telah mendengar dan kita sangat mengambil berat. Saya berbesar hati untuk berkata bahawa MITRA kini telah dikembalikan semula kepada Pejabat Perdana Menteri dan secara langsung di bawah bidang kuasa saya.


"Bagaimanapun, saya ingin menekankan bahawa MITRA bukan satu-satunya medium di Malaysia hari ini untuk meningkatkan kehidupan masyarakat India.


"Sebagai contoh, Kerajaan MADANI juga menggunakan sumber Amanah Ikhtiar Malaysia dan Tekun, yang turut memberikan bantuan berharga kepada masyarakat India. Ini juga termasuk membaiki infrastruktur kebersihan asas yang penting di sekolah Tamil," katanya.


Selain itu, PM turut menekankan komitmen Ambedkar terhadap hak-hak wanita dan menganggap Ambedkar hidup pada dekad awal abad kedua puluh, yang merupakan satu lompatan zaman pada ketika itu. Bukan sahaja untuk India tetapi untuk banyak negara di seluruh dunia.


Katanya, komitmennya terhadap hak wanita menyebabkan tokoh itu bekerja tanpa jemu, mencari kesaksamaan yang lebih besar di bawah undang-undang wanita India dari semua kelas dan mengembangkan hak mereka untuk mewarisi harta.


Anwar juga menyokong pendekatan Ambedkar yang mengutamakan perpaduan serta semangat persaudaraan antara kaum.


"Demokrasi perlu ditunjangi oleh komitmen masyarakat untuk mencapai cita-cita dan aspirasi tertentu. Saya amat tertarik dengan penekanan Ambedkar terhadap persaudaraan, yang penting untuk memupuk perpaduan. Sudah pasti tonggak utama di Malaysia Madani adalah falsafah kenegaraan kita


"Cabarannya adalah milik kita, dan saya yakin setiap rakyat Malaysia, tidak kira warna kulit, kepercayaan atau kedudukan, boleh secara individu atau bersama-sama secara kolektif, mewujudkan Malaysia yang lebih kuat, lebih makmur dan lebih setara. Di mana sesiapa yang bercita cita besar, bekerja keras dan berusaha mengikut peraturan, boleh merealisasikan cita-cita mereka.


"Ini adalah matlamat saya untuk setiap rakyat Malaysia sesungguhnya, untuk seluruh negara kita," akhiri Datuk Seri Anwar.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page