Spekulasi yang beredar di media sosial dan dilaporkan oleh beberapa portal media arus perdana bahawa Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim diterima menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong merupakan berita tidak benar.
Menurut Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil, tiada sesi menghadap sebagaimana dilaporkan berlaku hari ini.
"Beberapa portal berita telah memetik sumber yang tidak dinamakan mendakwa bahawa Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar akan menghadap KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong hari ini.
"Ini adalah berita tidak benar.
"Saya pohon kerjasama rakan-rakan media untuk mendapatkan maklumat yang sahih dari sumber yang tepat sebelum menyiarkan berita untuk mengelak sebarang kekeliruan atau salah faham," katanya dalam satu kenyataan.
Sejak pukul 12.30 tengah hari tadi beredar berita di media sosial mendakwa Datuk Seri Anwar diterima menghadap di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang.
Berita itu kemudiannya disiarkan beberapa portal berita yang membayangkan pertemuan akan dilangsungkan pada pukul 2.30 petang.
Comments