top of page

Tiada peruntukan projek Jalan Luar Bandar dibatalkan - Mustapha

Writer: Azuan Ab Rahman
Azuan Ab Rahman
3 hours ago
2 min read
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud menafikan dakwaan kerajaan MADANI membatalkan atau memotong peruntukan projek Jalan Luar Bandar (JALB) di Sabah dan Sarawak.


Beliau berkata,penangguhan pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) baharu tidak boleh disamakan dengan pembatalan projek pembangunan yang sudah diluluskan.


"Isu sebenar yang perlu diberikan perhatian ialah komitmen kontrak dan perbelanjaan yang melebihi peruntukan tahunan diluluskan, sehingga menyebabkan tunggakan serta kelewatan bayaran kepada kontraktor.


"Justeru, arahan penangguhan SST baharu pada 10 September lalu adalah langkah kawalan kewangan bagi mengelakkan tunggakan terus meningkat, bukannya arahan pembatalan menyeluruh projek pembangunan," kata dalam kenyataan.


Beliau berkata begitu sebagai mengulas tuduhan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kononnya 13 projek JLB di Sabah dibatalkan pada tahun ini berdasarkan arahan Ketua Setiausaha Kementerian.


Menurut Mustapha, Kementerian Kewangan meluluskan perbelanjaan tambahan RM500 juta pada 2026 bagi membantu menangani tunggakan bayaran kontraktor JALB.


Langkah itu tegasnya, bukti kerajaan tidak mengurangkan pembiayaan, sebaliknya menyediakan peruntukan tambahan untuk memastikan komitmen projek sedia ada dapat ditunaikan.


"Peruntukan asal JALB di peringkat nasional terus meningkat daripada RM2.11 bilion bagi tahun ini kepada RM2.27 bilion bagi 2027.


"Sebelum pentadbiran kerajaan MADANI, peruntukan JALB ini tidak pernah mencecah angka RM1 bilion, peruntukan RM1.09 bilion hanya dimulakan pada 2023.


"Ini bukti jelas komitmen pentadbiran pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memenuhi keperluan Sabah dan Sarawak," tambah Ahli Parlimen Sepanggar itu.


Sementara itu beliau juga menegaskan, Kerajaan MADANI turut menterjemah komitmen terhadap pembangunan Sabah dan Sarawak melalui Belanjawan 2027 yang meningkatkan peruntukan Persekutuan kepada Sabah daripada RM17.6 bilion kepada RM18.7 bilion, manakala Sarawak daripada RM15.1 bilion kepada RM16.2 bilion.


Selain itu, RM3.3 bilion turut disediakan bagi projek jalan raya di kedua-dua negeri, termasuk kesinambungan pembangunan jaringan jalan strategik.


"Pembangunan Sabah dan Sarawak kekal sebagai pelaburan jangka panjang yang menjadi keutamaan kerajaan MADANI.


"Dakwaan Sabah dan Sarawak mangsa pemotongan atau pembatalan projek tidak boleh dibuat berdasarkan andaian. Pihak yang membuat dakwaan sedemikian wajar mengemukakan senarai projek, nilai peruntukan dan status pembatalan sebagai bukti," katanya.


1 Comment


Eka nurcahya ningsih
Eka nurcahya ningsih
2 hours ago

Baguslah tiada peruntukan projek jalan luar bandar yang dibatalkan, tetapi mengapakah timbul pula dakwaan sebaliknya? Salam <a href="https://jakarta.telkomuniversity.ac.id/manfaat-ai-dalam-dunia-akademik/">Telkom University Jakarta</a>

Like

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page