Tiada pertembungan PH hadapi BN-GRS, peluang menang cerah
- Suara Keadilan
- 8 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Noraini Nordin
Sorotan PRN Sabah ke 17: Akhirnya terjawab sudah persoalan siapakah calon-calon yang dipilih untuk mewakili KEADILAN dalam Pilihan Raya Sabah kali ini.
KEADILAN semalam telah mengumumkan calon-calon yang akan bertanding pada PRN Sabah, 29 November depan.
Parti KEADILAN akan bertanding di 10 kerusi Dun setelah melakukan rundingan yang teliti dengan UMNO/BN serta GRS.
Senarai 10 calon KEADILAN dan kerusi yang mereka tandingi ialah N18 Inanam - Datuk Peto Galim; N20 Api-Api - Thonny Chee;
N23 Petagas - Datuk Awang Husaini Sahari; N35 Sindumin - Datuk Yamani Hafez Musa; N42 Melalap - Datuk Jamawi Jaafar; N44 Tulid - Datin Rufinah Pengeran; N50 Gum-Gum - Abdul Said Pimping; N54 Karamunting - Datuk George Hiew Vun Zin; N61 Segama - Romansa Lamin; dan N72 Merotai - Datuk Ruji Ubi.
Semua calon KEADILAN terdiri daripada pelbagai latar belakang, daripada seorang bekas timbalan menteri, bekas pegawai tinggi kerajaan juga golongan profesional.
Slogan "Harapan Urang Sabah"
Dengan slogan “Harapan Urang Sabah”, kesemua 10 calon yang ditampilkan itu diyakini berpotensi besar untuk meraih kemenangan.

Tambahan lagi, selain kedudukan KEADILAN sebagai peneraju kerajaan di peringkat pusat yang tentunya merupakan suatu kelebihan, kesemua calon juga mendapat sokongan penuh daripada UMNO-BN dan juga GRS.
Tidak berlaku pertembungan sesama sendiri antara KEADILAN dengan UMNO-BN dan GRS.
Peluang menang cerah
Membuatkan peluang kemenangan dilihat ialah cerah ialah komitmen Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri selaku Perdana Menteri dan Presiden KEADILAN untuk mengetuai jentera kempen PRN Sabah ini.
Menurut Anwar, keputusannya mengetuai jentera kempen KEADILAN adalah bagi menyelaras strategi kempen dan memperkukuh perpaduan di semua bahagian di negeri itu.
Perdana Menteri menekankan pendekatan kerajaan adalah untuk mendengar suara rakyat, berbincang secara konstruktif dan melaksanakan pembangunan dengan telus, termasuk projek-projek infrastruktur dan kesihatan di negeri itu.





