Tiada pergolakan: KEADILAN Sabah kekal harmoni, stabil - AMK Sabah
- Suara Keadilan

- Oct 12
- 2 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sabah menolak laporan media yang mendakwa wujudnya pergolakan dalaman dalam KEADILAN Sabah, menegaskan bahawa parti itu kekal harmoni, stabil dan bersatu menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah (PRN) Ke-17.
Ketua AMK Sabah, Zaidi Jatil (gambar) berkata, laporan Malaysiakini bertarikh 11 Oktober bertajuk, “Isu Calon Payung Terjun Buat PKR Sabah di Ambang Gelora” menggambarkan situasi yang kurang tepat berkenaan hal situasi dalaman parti.
"Kenyataan tersebut tidak bertepatan dengan konteks sebenar perbincangan.
"Sesi pertemuan antara pimpinan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sabah bersama Ketua-Ketua Cabang KEADILAN yang berlangsung baru-baru ini telah berjalan dalam suasana harmoni, penuh persahabatan dan semangat kekeluargaan parti," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa KEADILAN Sabah kekal fokus terhadap persiapan menghadapi PRN, dan pertemuan itu sebenarnya membuka ruang mendengar pandangan anggota bawahan serta memperkukuh gerak kerja antara pimpinan peringkat negeri dan cabang.
"Hakikatnya, KEADILAN Sabah kekal stabil, bersatu dan fokus terhadap persiapan menghadapi PRN ke-17 yang bakal tiba.
"Pertemuan tersebut merupakan ruang sihat untuk mendengar pandangan akar umbi serta memperkukuh koordinasi antara cabang dan pimpinan negeri agar parti dapat tampil dengan kekuatan terbaik dalam menghadapi rakyat," jelas Zaidi.
AMK Sabah, katanya, menegaskan bahawa pandangan pimpinan peringkat cabang perlu dihormati dan dilibatkan dalam proses penentuan calon sebagai tanda menghormati prinsip musyawarah dan kebersamaan dalam KEADILAN.
"Pandangan dan suara Ketua-Ketua Cabang serta pimpinan peringkat negeri wajar dihormati dan dilibatkan dalam proses penentuan calon, sebagai cerminan prinsip KEADILAN yang mengutamakan musyawarah dan kebersamaan," katanya.
Zaidi menambah, KEADILAN Sabah akan terus teguh di bawah kepimpinan Presiden parti dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam memperjuangkan reformasi, nilai MADANI serta kesejahteraan rakyat Sabah.
"AMK Sabah akan terus memainkan peranan aktif sebagai benteng muda yang memperjuangkan politik nilai, kesetiaan pada perjuangan dan solidariti dalam parti," tegasnya.
Untuk rekod, KEADILAN Sabah hampir pasti akan menurunkan lebih banyak calon pada PRN kali ini berbanding PRN 2020 lalu yang mana parti bertanding hanya enam kerusi.
Daripada enam kerusi KEADILAN menang dua kerusi, DUN Inanam dan DUN Api Api dalam PRN tersebut.









Comments